ARTIKEL

BIM satukan komuniti pekak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAHASA merupakan alat komunikasi yang menjadi penghubung antara manusia.

Namun, bagi golongan pekak dan bisu, cara mereka berinteraksi tidak bergantung kepada suara, sebaliknya melalui gerakan tangan, mimik muka dan ekspresi tubuh menggunakan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).

BIM bukan sekadar simbol tangan semata-mata, tetapi satu sistem bahasa yang lengkap dengan tatabahasa, struktur dan ungkapan tersendiri.

Ia berfungsi sebagai bahasa pertama bagi komuniti pekak di negara ini. BIM diiktiraf secara rasmi oleh Kerajaan Malaysia pada 2008 melalui pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008, sekali gus mengangkat martabat bahasa ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengiktirafan tersebut memberi ruang kepada penggunaan BIM dalam bidang pendidikan, penyiaran dan perkhidmatan awam agar masyarakat pekak dapat menikmati hak komunikasi secara menyeluruh.

Baru-baru ini, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Mukah menganjurkan Bengkel BIM The Silent World and The Speaking Hands 2025, yang dihadiri 80 peserta pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pertubuhan komuniti.

Antaranya Pejabat Residen Mukah, Pejabat Daerah Mukah, Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Kesihatan, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Pusat Sehenti Intervensi Awal Kanak-Kanak (OSEIC) Dalat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan agensiagensi lain.

Dalam bengkel tersebut, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah, Dariel Thiong Yiew Seng, memberitahu, BIM bukan sekadar alat komunikasi, tetapi ia merupakan bahasa perpaduan dan kefahaman hati nurani.

Menurutnya, apabila kita belajar bahasa isyarat, kita bukan sahaja memahami cara untuk berkomunikasi dengan komuniti pekak, tetapi kita juga belajar untuk menghormati dan mengiktiraf kewujudan mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat yang setara.

“Di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), pelbagai program dilaksanakan bagi menyokong pembangunan komuniti orang kelainan upaya (OKU), termasuk melalui Pusat PDK dan inisiatif latihan pemulihan sosial.

“Namun begitu, keberkesanan program ini amat bergantung kepada sokongan masyarakat dan agensi kerajaan.

“Hal ini terutamanya penting untuk bersama-sama berganding bahu dalam menyediakan ruang dan peluang kepada golongan ini,” katanya.

Katanya lagi, bengkel BIM ini sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk memastikan perkhidmatan awam di Mukah merangkumi semua golongan.

Sehubungan itu, dalam konteks Sarawak, usaha sebegini amat bertepatan dengan visi kerajaan negeri untuk mewujudkan masyarakat yang inklusif dan mesra OKU.

Ini kerana kerajaan sentiasa komited untuk memperkasakan program sosial yang melibatkan komuniti OKU, bukan sahaja dari segi kebajikan tetapi juga dari sudut pendidikan, komunikasi dan peluang pekerjaan.

Tentunya, program ini memberi nilai tambah kepada petugas awam dan masyarakat dalam meningkatkan kefahaman tentang cara berinteraksi dan memberi perkhidmatan dengan lebih berkesan kepada komuniti pekak.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian, Royston Valentine, turut memuji inisiatif PKMB Mukah menganjurkan program ini.

Menurutnya, usaha mempelajari bahasa isyarat amat penting kerana ia mampu membantu mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin terhadap keperluan golongan istimewa tersebut.

Justeru, sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu menghormati dan mempelajari asas BIM supaya dapat memahami mereka.

BERITA LAIN

Golf Senior Pacu Pelancongan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka

Al-Quran panduan bentuk akhlak

Kejayaan mengkhatamkan al-Quran bukanlah pengakhiran perjalanan seorang Muslim untuk mendalami kitab suci itu, sebaliknya menjadi permulaan untuk memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.

BERITA TERBARU