Dalam era digital yang berkembang pesat, media sosial bukan lagi sekadar platform hiburan, sebaliknya menjadi medium bagi golongan muda menjana pendapatan dan membina kerjaya.
Bagi Muhammad Danish Muhammad Gusti, 22, media sosial membuka lembaran baharu dalam kehidupannya apabila berjaya mengubah minat menghasilkan kandungan digital menjadi sebuah jenama yang semakin dikenali, BorneoBabes88.
Jenama kandungan media sosial yang memfokuskan kepada ulasan makanan dan gaya hidup itu bermula secara sederhana menerusi perkongsian video pengalaman di pelbagai restoran.
Namun, siapa sangka idea yang lahir daripada perbualan santai bersama-sama rakan-rakan akhirnya berkembang menjadi platform yang menjana pendapatan sampingan menerusi pelbagai kolaborasi dengan pelanggan.
Sebagai penuntut di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan anak sulung dalam keluarga, Danish menggalas dua tanggungjawab besar. Selain memastikan prestasi akademiknya sentiasa cemerlang, beliau turut menjadi pengasas bersama BorneoBabes88 yang ditubuhkan bersama-sama dua rakannya, Dania dan Diyana.
“BorneoBabes88 ditubuhkan hasil perbincangan kami bersama-sama rakan-rakan. Pada awalnya, ia sekadar hobi, tetapi apabila difikirkan semula, kami nampak potensi untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan sampingan,” katanya.
Bagi Danish, tanggungjawab sebagai anak sulung sering hadir bersama harapan keluarga. Namun, beliau tidak melihat perkara itu sebagai tekanan, sebaliknya sebagai dorongan untuk terus berusaha dan berani mencuba sesuatu yang baharu.
Mengimbangi kehidupan sebagai pelajar universiti dan usahawan muda bukanlah perkara mudah. Setiap hari memerlukan pengurusan masa teliti, disiplin tinggi serta kesediaan untuk berkorban demi memastikan kedua-dua tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan dengan baik.
Lebih mencabar, perjalanan BorneoBabes88 tidak bermula dengan modal besar. Pada peringkat awal, segala kos penghasilan kandungan ditanggung sendiri oleh ahli pasukan.
“Pada peringkat awal, kami memang tidak mempunyai bajet dan belum memperoleh keuntungan. Semua kos penghasilan video ditanggung sendiri dan dikongsi bersama-sama,” jelasnya.
Di sebalik setiap video yang dimuat naik, terdapat pelbagai pengorbanan yang tidak diketahui ramai. Bermula daripada kos makanan, pengangkutan dan peralatan produksi, semuanya memerlukan komitmen kewangan daripada pasukan kecil itu.
Walaupun berdepan dengan kekangan sumber, semangat mereka untuk menghasilkan kandungan berkualiti tidak pernah luntur. Malah, Danish percaya kejayaan sesebuah jenama digital bukan sahaja bergantung pada modal, tetapi juga kreativiti, kesungguhan dan kerjasama pasukan.
Menurutnya, setiap ahli BorneoBabes88 memainkan peranan yang sama penting bagi memastikan operasi berjalan lancar.
“Semua ahli memegang peranan sama seperti jurukamera, pengisi kandungan dan penyunting. Kami saling bertukar tugas kerana masing-masing mempunyai pengalaman dalam semua bidang tersebut,” katanya.
Pendekatan yang fleksibel itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan sesama ahli pasukan, malah membolehkan mereka memahami keseluruhan proses penghasilan kandungan secara menyeluruh.
Menariknya, dalam dunia media sosial yang sering terdedah kepada pelbagai bentuk kritikan, BorneoBabes88 menerima sambutan yang memberangsangkan daripada penonton.
“Alhamdulillah, setakat ini kami tidak berdepan dengan sebarang kecaman. Penonton kami sangat menyokong dan memberikan maklum balas yang baik.
“Kami sangat menghargai semua pengikut dan penonton kami,” katanya.
Sokongan tersebut menjadi pembakar semangat untuk mereka terus menghasilkan kandungan yang lebih kreatif, terutama ketika musim sibuk seperti Ramadan yang menyaksikan peningkatan jumlah kolaborasi dan jemputan daripada pelbagai pihak.
Namun, Danish mengakui perjalanan dalam dunia keusahawanan tidak pernah lari daripada cabaran.
“Ada masanya perniagaan agak perlahan. Namun, kami cuba untuk tidak berputus asa.
“Jika jumlah pelanggan berkurangan, kami akan cuba menghubungi perniagaan lain atau membantu rakan-rakan bagi mengekalkan jaringan dan interaksi,” katanya.
Baginya, setiap fasa turun naik yang dilalui merupakan proses pembelajaran yang penting bagi membentuk ketahanan mental dan kematangan sebagai usahawan muda.
Melihat perkembangan semasa, Danish percaya media sosial menawarkan potensi sangat besar kepada generasi muda yang ingin membina perniagaan atau jenama sendiri.
“Media sosial kini berkembang dengan sangat pantas. Jika digunakan dengan betul, ia boleh membantu sesuatu perniagaan menjadi tular dalam masa yang singkat,” jelasnya.
Walaupun industri penciptaan kandungan semakin kompetitif, Danish memilih untuk melihat pencipta kandungan lain sebagai rakan seperjuangan dan bukannya pesaing.
“Kami tidak melihat mereka sebagai pesaing. Kami menganggap semua orang berada dalam perjalanan yang sama. Semua mahu berkembang bersama,” katanya.
Dengan keyakinan dan semangat yang dimiliki, Danish berharap BorneoBabes88 dapat terus melangkah lebih jauh pada masa hadapan.
“Insya-Allah, kami berharap BorneoBabes88 dapat berkembang lebih jauh, bukan sahaja di Borneo, malah ke Semenanjung Malaysia dan peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Danish turut menitipkan pesanan kepada golongan muda yang bercita-cita untuk menceburi bidang perniagaan agar tidak takut mengambil langkah pertama.
“Kalau bukan sekarang, bila lagi? Mulakan seawal mungkin dan teroka apa-apa sahaja peluang yang ada. Dunia perniagaan ini luas dan semua orang boleh mencuba,” katanya.
Kisah Danish membuktikan usia bukan penghalang untuk mencipta kejayaan.
Dengan keberanian mencuba, kesediaan untuk terus belajar dan semangat yang tidak mudah luntur, beliau berjaya mengimbangi peranan sebagai pelajar, anak sulung dan usahawan digital dalam usaha merealisasikan impiannya.



