TREND remaja terlibat dalam aktiviti jenayah di negara ini semakin membimbangkan apatah lagi ada yang berani secara terang-terangan berkongsi perbuatan jenayah di media sosial demi konten populariti semata-mata.
Antara jenayah sering dilakukan oleh ialah rogol, mencuri, buang bayi, merompak, dadah, ugutan jenayah, gaduh gempar malah ada yang terlibat dalam jenayah berat seperti membunuh.
Sebagai contoh baru-baru ini, empat orang pesalah kanak-kanak dan dua orang pesalah muda mengaku bersalah kerana terlibat dalam kes pembunuhan seorang pengawal keselamatan berusia 51 tahun di hadapan sebuah hotel di Batu Kawa, Kuching, 30 Oktober lalu.
Ketika kejadian, video perbuatan mereka tular di media sosial apabila sekumpulan remaja memukul beramai-ramai seorang pengawal keselamatan.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor selepas bertarung nyawa selama dua hari di wad rawatan rapi ICU.
Punca meninggal dunia kerana mengalami kecederaan di kepala akibat trauma dipukul menggunakan objek tumpul atau ditumbuk.
Punca kejadian kerana salah faham seorang tertuduh yang mencari isterinya di sebuah hotel hingga menyebabkan kejadian tersebut berlaku.
Kesalahan-kesalahan seperti itu amat merugikan remaja apatah lagi dalam usia yang terlalu muda sudah mempunyai rekod jenayah apabila dijatuhi hukuman oleh mahkamah sekali gus memberi impak kepada masa depan mereka.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan bahawa 2,162 kes membabitkan kesalahan dalam kanak-kanak di Mahkamah Sesyen dan Majistret setakat 1 Januari hingga 30 September 2023.
Menurut beliau, antara kes yang banyak didaftarkan seperti kesalahan dadah dibawah Seksyen 12 dan 15 Akta 234, jenayah seksual (seksyen 354 dan 356 Akta 574) dan kesalahan curi atau rompak (seksyen 378, 380 dan 390 Akta 574).
“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,203 kes diberikan perintah di bawah seksyen 91 Akta 611 manakala baki 959 kes masih di peringkat sebutan atau pengurusan kes,” katanya.
Selain itu, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan jumlah kes jenayah membabitkan pesalah juvana meningkat 37.5 peratus pada 2021 berbanding tahun 2020.
Melihat kepada trend kes-kes juvana yang semakin meningkat hari-hari demi hari, sudah tiba masanya mengambil tindakan wajar bagi membedung gejala-gejala masalah jenayah sosial.
Kita bukan sahaja mengalami peningkatan masalah kes juvana malah turut menghadapi cabaran dalam menangani masalah belia yang banyak mengalami depresi.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018 akan dilaksanaan semula tetapi menggunakan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya.
Beliau menjelaskan peserta PLKN akan mejalani latihan di 13 kem tentera Wataniah untuk latihan 45 hari. PLKN untuk fasa baharu adalah individu dalam kalangan belia berusia 16 hingga 35 tahun.
Apabila PLKN diperkenal semula, ramai yang tidak bersetuju program terbabit diperkenalkan semula kerana bimbang akan keselamatan anak-anak mereka selain daripada ada individu yang berusia 25 tahun ke atas mempunyai komitmen tersendiri yang sukar untuk mengikuti program itu.
Jika difikirkan kembali, latihan ala-ala ketenteraan itu pastinya dapat membantu mendisplinkan anak-anak yang kini semakin rapuh sekali gus meningkat jati diri dan semangat cintakan negara.
Inilah masa yang sesuai kerajaan membantu mendisplinkan belia masa kini sekiranya ibu bapa gagal mendidik mereka.
Latihan yang hanya berlangsung selama 45 hari bukanlah sesuatu tempoh yang lama untuk mereka jalani jika dibandingkan negara lain seperti Korea Selatan yang perlu menjalani Khidmat Negara selama dua tahun.
Dalam PLKN pastinya banyak modul-modul latihan yang diterapkan kepada belia seperti modul kenegaraan, fizikal, pembinaan karakter, dan khidmat komuniti.
Dengan modul latihan yang lengkap ini ia pasti mampu meningkatkan motivasi diri, memupuk semangat kerjasama dan kekitaan dalam kalangan peserta berbilang bangsa.
Secara kesimpulannya, kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam mendidik anakanak muda yang merupakan tonggak utama masa depan negara kelak.



