INISIATIF memperkasakan pembangunan sukan bola sepak lima sebelah, atau lebih dikenali sebagai futsal, sememangnya menjadi keutamaan kebanyakan pihak ketika ini.
Usaha ke arah itu penting bukan sahaja bagi memastikan Sarawak kekal relevan dalam menyediakan pasukan terbaik ketika menghadapi kejohanan berprestij, malah berupaya menjadikan negeri ini terus kekal sebagai kuasa dalam sukan futsal pada masa hadapan.
Presiden Kelab Futsal Top Eight, Halimah Musa, menyatakan bahawa usaha yang dilaksanakan oleh pihaknya amat bertepatan apabila Kelab Futsal Top Eight berjaya menganjurkan kejohanan tersebut baru-baru ini.
“Satu langkah yang amat tepat diambil oleh jawatankuasa pengelola, iaitu kelab kami sendiri, dalam menganjurkan kejohanan berkenaan.
“Saya percaya penganjuran kejohanan ini menjadi bukti jelas bahawa usaha sedemikian mampu memainkan peranan penting dalam menjadikan Bahagian Bintulu sebagai hab pengeluar pemain berbakat pada masa hadapan,” ujar Halimah ketika mengulas lanjut mengenai penganjuran kejohanan itu.
Beliau berkata bahawa penganjuran kejohanan itu sekali gus dapat memperlihatkan kemunculan bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi selepas ini. Justeru, usaha berkenaan mampu menampung keperluan dalam pembentukan skuad futsal Sarawak yang benarbenar mantap.
“Kami percaya akan ada pemain berbakat daripada kejohanan ini yang berpeluang mewakili Sarawak mahupun negara pada masa hadapan.
“Hal ini mengambil kira prestasi cemerlang yang dipamerkan sepanjang kejohanan, selain bakat semula jadi yang dimiliki,” katanya. Sementara itu, pasukan Ayoo Jima FT melakar sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul gelaran juara kejohanan tersebut.
Dalam aksi akhir yang berlangsung di Stadium Muhibah Bintulu, kelab yang semakin digeruni itu berjaya menumpaskan Sesuka FT menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa penuh permainan.
Kejayaan itu membolehkan barisan pemain Ayoo Jima FT membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta piala dan pingat.
Sebagai naib juara, Sesuka FT menerima wang tunai RM700 berserta piala dan pingat.
Tempat ketiga pula menjadi milik pasukan Mozo Sport yang turut membawa pulang wang tunai RM300 berserta piala dan pingat.
Turut hadir pada majlis penutupan kejohanan itu ialah Pengerusi Kejohanan, Sylvester Chuyon Michael.
Menurut Halimah, kejohanan anjuran Kelab Futsal Top Eight itu berlangsung pada 13 Disember lalu. Tegasnya, sebanyak 16 pasukan yang mewakili pelbagai kelab berentap dalam kejohanan tersebut.
Terdahulu, Halimah yang mewakili jawatankuasa pengelola turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan penganjuran kejohanan itu.
“Pihak kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas kerjasama dan sokongan yang diberikan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya dijangka menganjurkan kejohanan yang sama bagi edisi kedua pada tahun hadapan.
Beliau mengakui bahawa penganjuran kejohanan itu bukan sahaja memberi peluang kepada para pemain untuk mengetengahkan bakat mereka, malah mampu menjadi pendekatan terbaik ke arah merapatkan hubungan silaturahim antara semua pihak.
“Kami percaya hubungan erat dapat terjalin antara semua pihak yang terlibat dalam kejohanan lalu.
“Sehubungan itu, pihak kami amat berharap penganjuran kejohanan bagi edisi akan datang menjadi lebih rancak dan meriah,” jelasnya.
Majlis penutupan kejohanan tersebut turut diserikan dengan sambutan ulang tahun kelima penubuhan kelab berkenaan.
“Program ini sememangnya amat bermakna bagi kami, iaitu seluruh ahli kelab.
“Ia menjadi penanda aras bagi memastikan kelab ini terus berjaya dan maju dalam melaksanakan pelbagai aktiviti pada masa hadapan,” jelas Halimah.






