BINTULU: Kelebihan satu gol hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas ATM pada aksi suku akhir pertama Liga Premier Sarawak 2026 (SPL 2026) di Padang Perumahan, Jalan Astana semalam masih belum menjamin kedudukan selesa buat pasukan Bintulu untuk mara ke separuh akhir.
Situasi itu boleh berubah sekiranya kelebihan tersebut gagal dipertahankan pada aksi timbal balik di laman sendiri pada Sabtu ini (17 Oktober).
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA), Sophie Shariee berkata, masih ada 90 minit kedua yang bakal dilalui pemainnya menerusi aksi timbal balik di laman sendiri Sabtu ini.
Justeru, tegas Sophie, perlawanan itu menjadi penentu sebenar hala tuju pasukannya untuk mara ke peringkat separuh akhir.
“Memang gembira apabila pemain berjaya mencatat kemenangan (1-0) ke atas ATM semalam.
“Kelebihan satu gol yang dimiliki masih belum terjamin. Kami perlu mempertahankannya jika mahu layak ke separuh akhir,” ujar Sophie kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau mengakui aksi timbal balik itu dijangka sengit kerana kedua-dua pasukan mempunyai misi besar yang amat mencabar.
Walau bagaimanapun, kata Shopie, mereka tidak rela kredit berganda yang dimiliki terlepas begitu sahaja.
“Beraksi di laman akan dimanfaatkan sebaiknya dan gol dimiliki juga perlu dipertahankan,” tambah Sophie.
Penyerang bintang berprofil tinggi, Mohd. Morizad Morni muncul wira pasukannya apabila menjaringkan gol pada minit ke-80.



