SIMUNJAN: Jika kebanyakan pasukan sibuk dengan sesi latihan masing-masing bagi menghadapi Kejohanan Bola Baling Terbuka Sarawak 2025 yang dijadual berlangsung di Arena UNIMAS, Kota Samarahan bermula dari 15 hingga 18 September depan.
Berbeza dengan pendekatan dilakukan tiga pasukan iaitu Simunjan HC, Serian HC dan Inderapura HC.
Hujung minggu lalu, kesemua tiga pasukan terbabit mengadakan aksi pemanas badan tiga penjuru di Arena Sri Nancy, Simunjan.
Setiausaha Persatuan Bola Baling Sarawak (SAHA), Dr Abang Ismail Abang Haji Julhi menyifatkan usaha dilakukan kesemua tiga pasukan terbabit amat bertepatan sekali untuk mempersiapkan diri menghadapi kejohanan berprestij berkenaan.
“Langkah yang amat tepat dilakukan kesemua tiga pasukan ini dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi kejohanan itu,” ujar Dr Abang Ismail kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau percaya perlawanan persahabatan itu merupakan landasan terbaik buat jurulatih dalam mengenal pasti kelemahan pasukan masing-masing.
Kejohanan kali ini menghimpunkan 38 pasukan keseluruhan.
Dari jumlah tersebut, 24 pasukan berentap dalam kategori lelaki bagi merebut Piala Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg Edisi Ke-18.
Manakala, 14 lagi pasukan berentap dalam kategori wanita bagi merebut Piala Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi Edisi Ke-13.



