KUCHING: Persatuan Bola Baling Sarawak (SAHA) telah mengenal pasti tarikh bagi penganjuran Kejohanan Bola Baling Terbuka Sarawak 2026.
Setiausaha Agung SAHA, Dr Abang Ismail Abang Julhi memberitahu bahawa mesyuarat bersama barisan Exco SAHA telah diadakan baru-baru ini bagi membincangkan perkara berkenaan.
Menurut Abang Ismail, keputusan telah dicapai dengan menetapkan kejohanan tersebut berlangsung dari 1 hingga 5 September depan.
“Kita sudah pun menetapkan tarikh bagi kejohanan itu. Ia akan berlangsung dari 1 hingga 5 September depan di Stadium Tertutup Futsal UNIMAS, Kota Samarahan,” ujar Abang Ismail kepada Arena Suara Sarawak.
Kejohanan Bola Baling Terbuka Sarawak 2026 terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori lelaki yang menawarkan Piala Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Edisi Ke-19.
Satu lagi kategori ialah wanita yang menawarkan Piala Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi Edisi Ke-14.
Beliau berkata, penyertaan telah dibuka sejak beberapa minggu lepas dan setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan.
“Sambutan kita terima setakat ini amat menggalakkan bagi kedua-dua kategori berkenaan. Bukan sahaja kelab dari seluruh Sarawak, malah dari negara jiran iaitu Kalimantan Barat, Indonesia,” tambah Dr Abang Ismail.
Dalam pada itu, hadiah lumayan menanti barisan pasukan yang berjaya kelompok empat terbaik bagi kedua-dua kategori.
Pasukan yang muncul juara bagi kedua-dua kategori akan menerima wang tunai RM4,000, piala, pingat dan sijil.
Tempat kedua akan membawa pulang wang tunai RM3,000, piala, pingat dan sijil, manakala wang tunai RM2,000, piala, pingat dan sijil menanti pasukan di tempat ketiga.
“Pasukan yang menduduki tempat keempat akan menerima wang tunai RM1,500, piala, pingat dan sijil,” menurut beliau.
Sementara itu, lapan pasukan yang tewas di peringkat suku akhir akan menerima wang tunai RM500.






