KOTA SAMARAHAN: Sukan bola sepak jalanan bakal menghangatkan landskap dunia sukan tempatan dengan berlangsungnya Kejohanan Street Soccer 3 on 3 sempena Karnival Perpaduan Stakan 2026 dijadual berlangsung bulan ini.
Dengan tema “No Walls. No Limits.”, kejohanan anjuran The Futsal Legion (TFL) ini berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 November bertempat di Uni-Central Commercial Park, Kota Samarahan.
Penganjuran edisi kali ini menampilkan kelainan tersendiri apabila menerapkan standard ‘Kod Sukan Selamat’.
Langkah ini diambil bagi memastikan kawalan mutu perlawanan yang tinggi dan menjamin keselamatan, keharmonian serta persekitaran persaingan yang sihat sepanjang kejohanan berlangsung.
Program ini turut mendapat sokongan daripada agensi tempatan termasuk Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) serta badan-badan belia tempatan dalam usaha menyemarakkan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.
Berdasarkan jadual tentatif penganjur, tirai kejohanan akan bermula pada Jumaat (6 November) dengan acara Sepakan Penalti (Kategori Terbuka) serta aksi pembukaan peringkat kumpulan sukan bola sepak jalanan.
Saingan sengit peringkat kumpulan akan diteruskan pada Sabtu (7 November) sebelum kemuncak kejohanan pada Ahad (8 November) yang bakal menyaksikan penentuan juara bagi kategori Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka. Semua perlawanan akan bermula dari 8 pagi hingga 6 petang.
Pihak penganjur kini membuka penyertaan kepada orang ramai dengan kadar yuran pendaftaran yang amat berpatutan, iaitu RM50 bagi setiap pasukan.
Setiap pasukan perlu menyenaraikan seramai 5 orang pemain yang terdiri daripada 3 pemain utama dan 2 pemain simpanan.
Memandangkan slot perlawanan adalah terhad, pasukan yang berminat digesa untuk melakukan pendaftaran segera dengan mengimbas kod QR pada poster rasmi kejohanan.
Untuk maklumat lanjut dan urusan pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi urus setia di talian 018-369 2470 atau 014-738 8344, serta melayari laman sosial Facebook dan Instagram @thefutsallegion.






