MIRI: Pasukan Al-Quthuz melakar sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran juara pada Kejohanan Bola Sepak ‘King Of Veteran Cup’ edisi 1, semalam.
Kelab yang berpangkalan di Sarikei ini diperkuat beberapa bekas bintang ternama seperti Amri Yahyah, Bobby Gonzales, Mohd. Hairol Mokhtar, Hasdi Ramli dan Shahrizan Sahari.
Dalam perlawanan akhir tersebut, mereka berjaya menumpaskan ZZ United dengan jaringan (3-1) di Padang Bola Sepak Kelab Rekreasi & Petroliam (KRP), Lutong.
Tiga gol Al-Quthuz pada perlawanan tersebut disumbangkan oleh Hasdi Ramli, Bobby Gonzales dan Amri Yahyah.
Presiden Al-Quthuz, Sayed Habib Ahmad Sayed Hossain nyata gembira dengan kejayaan pasukannya yang bergelar juara musim ini.

Kejayaan itu, membolehkan pemain Al-Quthuz membawa pulang wang tunai RM10,000 termasuk piala dan pingat.
Manakala, wang tunai RM5,000 termasuk piala dan pingat diterima pemain ZZ United selaku naib juara.
Dalam pada itu, Awang Daud Awang Hassan dan Isa Hasli masing-masing dipilih untuk Anugerah Pemain Terbaik dan Penjaga Gol Terbaik.
Al-Quthuz mara ke final selepas menumpaskan Mixed Squad (Brunei Darussalam) dengan jaringan (2-0) menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat (1-1) untuk masa penuh.
Sementara itu, ZZ United menumpaskan Landas HQ dengan jaringan (3-0).
Kedua-dua pasukan terbabit menerima wang tunai RM2,000 serta piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.



