Bonnie raih emas kedua

ATLET para kebangsaan dari Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin terus mengejutkan beberapa lawannya yang lebih senior apabila berjaya meraih pingat emas kedua dalam acara 65 kg (ke atas) lelaki pada Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Nur-Sultan, Kazakhstan kelmarin.

Atlet berusia 19 tahun dari Sarawak itu yang menggondol pingat emas pertama dalam acara bawah 65 kg lelaki beberapa hari lepas, memulakan aksi dengan melakukan angkatan seberat 185 kg, diikuti 197 kg dan 207 kg pada cubaan kedua dan percubaan untuk merangkul gelaran senior sulungnya pada kejohanan yang diadakan di Astana Congress Center.

Kemenangan itu juga menyaksikan Bonnie menempah tiket ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Saya sangat gembira. Saya tidak menjangka akan memenangi pingat emas di sini dengan pesaing yang  kuat dalam kategori saya.

“Tetapi saya percaya, dalam usaha keras dan disipilin semasa latihan, ini adalah kemenangan terbesar saya,” katanya dalam laman web Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC)  https://www.paralympic.org/powerlifting.

Hocine Bettir dari Algeria dan atlet angkat berat dari Iran, Amir Jafari Arangeh, menamatkan saingan dengan masing-masing meraih pingat perak dan gangsa selepas melakukan angkatan seberat 194 kg dan  193 kg.

Pemenang pingat emas Paralimpik tiga kali, Liu Lei dari China, mendapat tempat keempat selepas membuat satu angkatan 190 kg manakala juara bertahan Paralimpik, Paul Kehinde yang juga pemegang rekod dunia acara itu, gagal menamatkan kedudukan podium selepas tiga angkatannya batal.