ARTIKEL

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew (dua, kanan) dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan (kiri) beramah mesra dengan pempamer selepas pelancaran Borneo Fest 2024 hari ini. Foto: BERNAMA

Borneo Fest promosi pelancongan, budaya dan makanan Sabah, Sarawak di Singapura

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SINGAPURA: Program Borneo Fest 2024, yang julung kali diadakan dari 19 hingga 21 Julai di Marina Square di sini, bertujuan untuk mendekati segmen pasaran pelancongan republik itu yang belum diterokai untuk Sabah dan Sarawak.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata acara itu juga merupakan peluang untuk kedua-dua negeri Borneo mempromosikan budaya unik mereka sambil meneroka peluang perdagangan dan pelancongan di Singapura.

“Saya dimaklumkan oleh Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sabah Singapura (STTOS) bahawa kebanyakan rakyat Singapura tidak pernah ke Sabah dan Sarawak.

“Oleh itu, Borneo Fest 2024 adalah peluang yang tepat untuk mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama dengan mempamerkan apa yang kami tawarkan dan seterusnya menggalakkan rakyat Singapura untuk melawat negeri kami,” katanya dalam ucapan pelancaran acara itu di sini pada Sabtu.

Liew juga meminta STTOS untuk memulakan promosi secara agresif selepas Laporan Kemas Kini Pelancongan Singapura menunjukkan terdapat penurunan sebanyak 7.3 peratus dalam ketibaan pelancong dari Singapura ke negeri itu, menurun daripada 13,499 ketibaan pada Januari hingga Mei 2023 kepada 12,462 dalam tempoh yang sama tahun ini.

Beliau berkata selain mempunyai pelbagai produk pelancongan untuk memenuhi pelbagai segmen, Sabah mempunyai kesalinghubungan yang baik dengan republik itu dengan 14 penerbangan harian melalui AirAsia dan Scoot.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata Sarawak yang 172 kali lebih besar daripada Singapura, menawarkan landskap, budaya, alam semula jadi yang luas dan peluang pengembaraan yang tidak berkesudahan.

Beliau berkata AirAsia dan Scoot menghubungkan republik itu dengan tiga bandar di Sarawak — Kuching, Sibu dan Miri yang membuka peluang baharu untuk penerokaan, pengembaraan dan pengalaman gastronomi bagi rakyat Singapura.

Snowdan berkata acara perniagaan kepada pengguna (B2C) seperti Borneo Fest 2024 membantu mengeratkan hubungan antara rakyat dan perniagaan Sabah dan Sarawak dengan Singapura.

“Acara ini adalah bukti ikatan kukuh dan warisan yang dikongsi antara Sarawak dan Sabah. Ia menyerlahkan komitmen kami untuk memupuk kerjasama serantau dan perkongsian dengan Singapura, membuka jalan untuk kerjasama masa depan,” katanya.

Pempamer, Anne Antah dari Chanteek Borneo, seorang pengeluar tekstil yang menampilkan motif etnik Sabah berkata di Borneo Fest 2024 dia membawakan lebih lima produk berbeza — selendang segera, kardigan, tali leher, alas meja dan ’twilly’ — dengan harga antara S$5 hingga S$30.

“Produk utama kami ialah kain ela tetapi itu lebih kepada pasaran domestik. Tetapi untuk kali ini, saya hanya menumpukan lebih kepada produk pengguna sambil mempromosikan kesedaran tentang motif berbeza etnik Sabah,” katanya kepada Bernama, berharap produk itu dapat menarik lebih banyak pasaran di luar Malaysia.

Pengarah Bountiful Harvest, Angela Tiong yang berasal dari Sarawak berkata syarikat pengimport makanan itu menjual pelbagai jenis rempah Sarawak, pes masakan, Gula Apong dan beras Bario.

“Saya percaya permintaan untuk produk makanan Sarawak semakin meningkat. Saya merasakan kesedaran itu belum cukup tinggi dalam kalangan rakyat Singapura. Jadi, kami menyertai festival seperti ini untuk mempromosikan lebih banyak produk ini,” katanya.

Festival Borneo 2024, usaha kerjasama antara STTOS dan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS), menawarkan pakej percutian, makanan seperti laksa Sarawak, Kolo Mee dan aiskrim Gula Apong, serta produk kraf tempatan.

— Bernama

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan