BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda yang disyaki beroperasi dengan keanggotaan kru tidak mencukupi di perairan Kuala Kemena pada Khamis.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata bot tunda itu ditahan kira-kira 12.10 tengah hari pada kedudukan sekitar tujuh batu nautika barat laut Kuala Kemena ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan Op TIRIS 4.0 dan Op PERMAI 01/2019.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Kaedah 12 Boat Rules kerana beroperasi dengan jumlah kru yang tidak memenuhi keperluan minimum yang ditetapkan oleh Pegawai Pelabuhan.

“Pemeriksaan mendapati bot tunda tersebut dikendalikan oleh tiga kru warga tempatan termasuk seorang nakhoda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bot tunda bersama kesemua kru kemudiannya ditahan dan diiring ke Jeti Shin Yang sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut serta tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Muhammad Suffian berkata tindakan penguatkuasaan itu membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan semua vesel yang beroperasi di perairan negara mematuhi keperluan keselamatan dan peraturan maritim yang ditetapkan.
Beliau berkata pematuhan terhadap syarat keselamatan amat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan serta menjamin keselamatan nyawa dan harta benda di laut.
“Komuniti maritim diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan prosedur keselamatan ketika menjalankan aktiviti di laut bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini serta tindakan perundangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah, pelanggaran undang-undang atau kecemasan di laut menerusi talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.






