Tiga bulan selepas memperkenalkan Bodo Coupe sebagai model coachbuilt pertamanya, Brabus kini tampil dengan versi terbuka yang tidak kurang dramatik, Bodo Cabriolet.
Seperti model coupe, Bodo Cabriolet menampilkan reka bentuk grand tourer yang panjang dan kemas dengan konfigurasi empat tempat duduk. Menariknya, model berkenaan bukan berasaskan Mercedes-Benz seperti kebanyakan projek Brabus, sebaliknya menggunakan Aston Martin Vanquish sebagai asas.
Di sebalik bonet panjangnya, Bodo Cabriolet dikuasakan oleh enjin V12 5.2 liter turbo berkembar yang telah dinaik taraf oleh Brabus bagi menghasilkan 986 kuasa kuda dan tork 885 lb-ft, berbanding 823 kuasa kuda serta tork 738 lb-ft pada Aston Martin Vanquish.


Dengan kuasa berkenaan, kereta itu mampu memecut dari 0 hingga 62 mph (100 km/j) dalam tempoh hanya tiga saat, manakala kelajuan 186 mph (300 km/j) dicapai dalam tempoh 23.9 saat.
Kelajuan maksimumnya pula dikatakan mencecah 223 mph (359 km/j), menjadikannya grand tourer terbuka yang cukup ekstrem dari segi prestasi.
Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan kelajuan dengan penukar tork, selain dilengkapi pembeza belakang yang dikawal secara elektronik.
Bodo Cabriolet turut menggunakan rim tempa Brabus Monoblock berukuran 22 inci yang dipadankan dengan tayar Pirelli P Zero (PZ5).



Sistem suspensinya pula dilengkapi fungsi mengangkat bahagian hadapan dan belakang kenderaan kira-kira satu inci bagi memudahkan pemanduan di permukaan tertentu.
Dari segi dimensi, badan khas yang diperbuat daripada gentian karbon itu mempunyai panjang 199.3 inci, hampir tujuh inci lebih panjang berbanding Vanquish, dan lebar 79.8 inci, iaitu hampir dua inci lebih lebar.
Bahagian belakang pula menampilkan spoiler yang boleh dilaraskan dan turut berfungsi sebagai brek udara ketika membrek pada kelajuan tinggi. Logo Brabus bercahaya turut ditempatkan di antara lampu belakang LED.
Brabus memperlihatkan dua unit Bodo Cabriolet, dengan sebuah daripadanya tampil dalam kemasan hitam bersama ruang kabin berwarna coklat dan bumbung hitam, manakala sebuah lagi menggunakan kemasan putih krim dengan ruang kabin senada.
Menariknya, grafik angka “77” ditenun pada fabrik bumbung, merujuk kepada tahun penubuhan Brabus.
Pengeluaran Bodo Cabriolet juga dihadkan kepada hanya 77 unit, sama seperti versi coupe.
Bagi mereka yang berminat untuk memiliki grand tourer eksklusif berprestasi tinggi itu, harga Bodo Cabriolet bermula pada ASD1.24 juta, bersamaan kira-kira RM5.2 juta.



