BRIC singkatan kepada kelompok negara Brazil, Rusia, India dan China membentuk BRIC pada 2009.
Pada 2010, dengan masuknya Afrika Selatan kumpulan tersebut menjadi BRICS. BRICS diandalkan mampu menyaingi Kesatuan Eropah dan negara maju seperti AS dan Jepun pada masa depan.
Hari ini, blok Timur Tengah dikatakan memerhati BRICS dari dekat dengan perspektif bahawa ketumbukan itu sebagai kekuatan ekonomi baharu.
Negara Timur Tengah tertarik menyertai BRICS yang dikatakan memiliki 40 peratus populasi dunia di dalamnya dengan hampir menguasai sepertiga daripada ekonomi global.
Bahkan, ada pendapat mengatakan BRICS akan mampu melampaui G7 dalam pertumbuhan ekonomi terkini.
Sejumlah anggota BRICS memiliki kekuatan tentera yang kurang hebatnya.
Menurut Global Fire Power 2023, kekuatan tentera Rusia berada pada ranking kedua, China ketiga dan India ranking keempat dalam 10 teratas kekuatan tentera terbaik dunia.
Malah, Rusia, China dan India memiliki senjata berat yang tidak kalah dengan ketumbukan pesaing lain.
Tiga negara Timur Tengah dikatakan mendaftar menyertai BRICS ialah Mesir, Iran dan Turki.
Tanpa berselindung, Menteri Rusia mengaku, dua dozen negara mempertimbangkan untuk bergabung dengan BRICS; seperti Aljazair, Arab Saudi, UEA, Argentina, Mexico, Bahrain, Indonesia, dan Nigeria.
Sahabat
Sementara, Bangladesh mempertimbangkan menyertai ketumbukan baharu itu dengan ketika ini menganggap dirinya sebagai Sahabat BRICS.
BRICS secara langsung mungkin bertentangan dengan konsep Tatabaharu Dunia atau New World Order (NWO), pada masa yang sama dilihat sebagai tantangan ke atas pengaruh dan hegemoni Barat dalam sistem antarabangsa.
BRICS yakin pada masa depan ia memiliki potensi menjadi kekuatan ekonomi global yang lebih besar.
Bahkan, penduduk China dan India itu sendiri memiliki hampir sepertiga daripada jumlah 8 bilion populasi global.
BRICS merangkumi 3.21 bilion populasi iaitu 41.5 peratus penduduk dunia dan sekitar 26 peratus ekonomi global.
Keluasan negara anggota BRICS dianggarkan 27 peratus daripada keluasan muka bumi.
China memiliki ekonomi terbesar dalam kalangan anggota BRICS iaitu lebih 70 peratus daripada kekuatan ekonomi keseluruhan kumpulan itu, yang dianggarkan sekitar AS$27.5 trilion (RM121 trilion).
Penguasaan India sekitar 13 peratus, disusuli Rusia dan Brazil masing-masing menguasai kira-kira 7 peratus, menurut data IMF. KDNK negara anggota BRICS berjumlah AS$26.6 trilion atau 26.2 peratus daripada Keluaran Kasar Dunia dan dianggarkan mempunyai rizab asing AS$4.46 trilion pada 2018.
Betapapun, dijanjikan masa depan yang cerah, BRICS yang mampu memberi tantangan kepada konsep NWO tidak mudah diremehkan.
Sistem ekonomi
Perbezaan struktur ekonomi anggota BRICS yang terdiri dari negara pelbagai sistem ekonomi dapat mencipta ketidakseimbangan dalam kerjasama ekonomi termasuk melibatkan pengambilan keputusan sesama anggota.
Meskipun BRICS berusaha untuk bekerjasama sebagai blok, terdapat persaingan dan ketegangan dalaman sesama anggota sukar diatasi.
Misalnya, China yang mempunyai kekuatan dominan dalam BRICS tidak sebulu dari segi dasar hubungan sempadan dengan India.
Manakala, masalah kewangan dan ketidakstabilan ekonomi menjadi cabaran untuk BRICS berlapang dada dalam beberapa isu dihadapi.
Brazil dan Afrika Selatan, misalnya mengalami masalah ekonomi dan meningkatnya pengangguran dalam negara.
Ketidakstabilan ini mempengaruhi kemampuan negara tersebut menyumbang secara optimum dalam kerjasama BRICS.
Meski BRICS menghadapi pelbagai cabaran dan halangan ini, mereka juga memiliki potensi besar sebagai blok ekonomi yang kuat.
Dengan kerjasama yang efektif dan bersatu hati mendepani tantangan ini, BRICS dapat terus tumbuh dan menyumbang kepada pembaikan ekonomi global dan tatadunia yang lebih seimbang.
Populasi besar
BRICS sebagai kelompok negara dengan populasi yang besar dan memiliki sumber kepelbagaian ekonomi, masa depan BRICS bergantung pada kemampuannya mempertahankan pertumbuhan ekonomi yang mampu memanfaatkan potensi sumber daya manusia, pasar domestik yang besar dan kegiatan perdagangan yang kuat.
BRICS dapat terus memperkuat kerjasama ekonomi melalui peningkatan perdagangan, pelaburan dan integrasi ekonomi, selain meningkatkan kerjasama di sektor strategi seperti teknologi, infrastruktur, sumber tenaga, pertanian dan inovasi.
BRICS memiliki potensi menjadi kekuatan penting dalam perubahan tatadunia yang berlangsung.
BRICS mampu memberi suara bersama untuk mempengaruhi program global dalam isu seperti perdagangan antarabangsa, reformasi kewangan antarabangsa, perubahan iklim dan pembangunan berterusan.
Dalam era digital, BRICS memiliki peluang menjadi pemimpin dalam inovasi teknologi dan transformasi digital.
Negara BRICS seperti China dan India menunjukkan potensi besar dalam sektor teknologi, termasuk kecerdasan buatan, e-niaga dan teknologi hijau.




