MIRI: Penganjuran Brunei Coffee Trail 2026 menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan pelancongan rentas sempadan antara Sarawak dan Brunei, selain membuka ruang kepada penggiat industri kedua-dua wilayah memperluas kerjasama dalam sektor berkenaan.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, berkata penganjuran program itu bukan sahaja mengetengahkan keunikan budaya kopi Brunei, malah membuktikan hubungan erat yang sekian lama terjalin antara kedua-dua wilayah, khususnya dalam aspek pelancongan, kebudayaan dan ekonomi.
“Masyarakat Brunei sentiasa memberikan sokongan terhadap pelbagai acara yang dianjurkan di Miri, termasuk program kebudayaan dan sukan.”
“Saya amat gembira dan bersyukur melihat setiap acara di Miri sentiasa mendapat sokongan yang baik daripada masyarakat Brunei.”
“Justeru, kita perlu membalas sokongan tersebut dengan mengunjungi dan menerokai apa yang ditawarkan oleh negara jiran kita demi memperkukuh hubungan yang saling menguntungkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Brunei Coffee Trail 2026 di sini, semalam.
Mengulas lanjut, katanya, hubungan yang kukuh antara Miri dan Brunei perlu terus diperkasa menerusi lebih banyak program rentas sempadan.
Jelasnya, hubungan tersebut mampu memberi manfaat kepada komuniti serta pemain industri pelancongan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan penduduk Miri mengambil peluang sempena kempen Visit Brunei Year 2027 untuk mengenali dengan lebih dekat destinasi pelancongan, kebudayaan serta produk tempatan yang ditawarkan negara berkenaan.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Pelancongan Brunei, Salinah Mohd Salleh, berkata penganjuran Brunei Coffee Trail 2026 di Miri merupakan sebahagian daripada usaha memperkenalkan produk serta pengalaman pelancongan Brunei kepada masyarakat di Sarawak.
“Program itu diadakan bersempena kempen Visit Brunei Year 2027 yang bakal berlangsung sempena sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.”
“Pelbagai pengusaha kopi dan pemain industri pelancongan dari Brunei dibawa ke Miri bagi memperkenalkan produk serta tarikan pelancongan negara itu kepada masyarakat tempatan semasa program ini.”
“Kami mahu mengajak masyarakat Miri untuk datang menikmati pengalaman budaya kopi di Brunei serta meneroka pelbagai destinasi menarik yang ditawarkan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, walaupun Brunei dan Miri terletak berdekatan, masih ramai yang belum pernah berkunjung ke Brunei.
Pihaknya turut berharap orang ramai akan mengambil peluang untuk melawat Brunei pada tahun 2027 atau bermula sekarang.
“Hubungan geografi yang dekat antara Miri dan Brunei menyediakan peluang besar untuk kedua-dua destinasi saling melengkapi dalam menarik lebih ramai pelancong.”
“Brunei turut berharap kerjasama pelancongan serantau dapat diperkukuh menerusi pembangunan pakej pelancongan bersama yang melibatkan Brunei, Sarawak dan Sabah sempena Visit Brunei Year 2027 dan Tahun Melawat Malaysia 2027,” tambahnya.



