MIRI: Kelahiran 17 bayi bukan sekadar detik menggembirakan keluarga, malah menjadi simbol harapan masa depan yang diraikan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Miri sempena Hari Bulan Sabit Merah Sedunia 2026.
Selari dengan tema Bersatu Demi Kemanusiaan, BSMM Cabang Miri memperingati sambutan itu menerusi inisiatif bermakna dengan mengagihkan set hadiah kepada 17 bayi yang dilahirkan pada hari istimewa tersebut di Hospital Miri.
Selain itu, tanda penghargaan turut diberikan kepada ibu hamil yang sedang menunggu waktu bersalin di wad.
Berpandukan tema sambutan, program berkenaan mencerminkan nilai teras Pergerakan Bulan Sabit Merah iaitu kemanusiaan, belas ihsan dan khidmat sukarela dengan membawa penjagaan serta kegembiraan kepada keluarga pada salah satu detik paling bermakna dalam kehidupan.

Majlis tersebut disempurnakan oleh tetamu kehormat, Datin Christina Lee yang menyampaikan sendiri set hadiah kepada ibu terpilih bersama bayi mereka yang baru dilahirkan.
Beliau menekankan kepentingan belas ihsan secara kolektif dan semangat kebersamaan dalam komuniti.
“Kelahiran seorang bayi merupakan simbol harapan untuk masa depan. Inisiatif seperti ini mengingatkan kita bahawa apabila kita bersatu demi kemanusiaan, tindakan kebaikan yang paling sederhana mampu memberi impak bermakna kepada keluarga serta mengukuhkan semangat komuniti,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Hari Bulan Sabit Merah BSMM Cabang Miri, Aaron Ismanto berkata, sambutan itu merupakan peringatan terhadap tanggungjawab bersama untuk berkhidmat kepada kemanusiaan.

“Di bawah tema Bersatu Demi Kemanusiaan, kami terus memperkukuh komitmen untuk menyokong golongan rentan serta membawa harapan melalui tindakan praktikal berasaskan komuniti,” tegasnya.
Untuk rekod, set hadiah bayi yang mengandungi barangan keperluan penjagaan bayi baru lahir itu dijayakan menerusi tajaan Little Blessings Programme, sekali gus membolehkan BSMM memperluas bantuan, penjagaan dan keselesaan kepada ibu baharu serta bayi mereka.
Dalam pada itu, Hari Bulan Sabit Merah Sedunia disambut setiap tahun pada 8 Mei bagi memperingati ulang tahun kelahiran pengasas Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, Henry Dunant.
Sambutan itu menjadi peringatan global terhadap kepentingan khidmat kemanusiaan dan kesukarelawanan.
BSMM Cabang Miri kekal komited dalam memperkukuh jangkauan kemanusiaannya serta melaksanakan program berimpak yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan memelihara maruah insan.



