ARTIKEL

MAYAT mangsa baham buaya di Sungai Paroh hanya ditemui pada Ahad lalu, sekitar jam 12.30 tengah hari, 300 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sempurna.

Buaya mengganas di sungai cetek

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

AIR sungai Kampung Paroh, Kuching, ketika itu bukan sahaja tenang, tetapi agak cetek, hanya di paras lutut.

Namun di situlah tragedi menimpa mangsa, Jacob Tuan, 33, pada malam Jumaat lalu, yang disambar buaya bersaiz sebesar pintu rumah, ketika memancing bersama-sama bapa mentuanya, Eddie Rengkang, 50.

Mayat hanya ditemui pada Ahad, sekitar jam 12.30 tengah hari, 300 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sempurna.

Berkongsi cerita kepada Suara Sarawak, Eddie sudah lama mengenali kawasan sungai itu kerana ia adalah tempatnya mencari rezeki, tempat berehat, dan berkongsi minat, bersama-sama menantunya.

Bagi Eddie, kehadiran sang bedal, adalah perkara biasa. Tetapi pada malam itu, ia sangat berbeza.

“Saya baling pancing ke dalam sungai, dan tidak lama kemudian, ikan patin menyambar umpan.

Kami cukup gembira, tetapi tidak lama. Mata kail tersangkut, dan kami tidak dapat menariknya.

Ketika itu kami tidak tahu… sesuatu yang lebih besar sedang menunggu,’’ katanya.

Disebabkan mata kail tersangkut, mereka berdua turun ke sungai.

Air cuma setakat paras lutut.

Tenang, tiada sebarang petanda bahawa bahaya sedang mengintai dari bawah.

Tiba-tiba, dari arah yang tidak disangka, seekor buaya gergasi menerkam menantunya.

Serangan begitu pantas. Eddie sendiri hampir terkena libasan ekor buaya.

Kemudian, dia berpaling ke arah suara menantunya, tetapi semuanya sudah terlambat.

“Saya tengok belakang, dia sudah hilang. Tetapi suaranya panggil saya ‘bapa, bapa!’ masih terngiang-ngiang hingga sekarang. Selepas itu, dia tenggelam… dia kena terkam bahagian kaki.

Buaya itu cukup besar, sebesar pintu rumah,” katanya. Susulan tragedi tersebut, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) telah mengaktifkan operasi memburu buaya ganas di kawasan Sungai Paroh, bermula 1 hingga 13 Julai.

SFC memberitahu, pihaknya akan menambah papan tanda amaran di lokasi strategik serta meneruskan Kempen Kesedaran 3M Buaya (Mengenali, Memahami, Memulihara) dengan penekanan khusus terhadap langkah keselamatan semasa berada di habitat buaya.

Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menangani tragedi yang berlaku saban tahun ini.

Apa yang lebih penting ialah kesedaran tinggi dalam kalangan pemancing atau sebarang aktiviti di sungai yang dikenali pasti ada penghuni berbahaya.

Dalam tempoh enam tahun (2018 hingga 2023), 32 mangsa maut disambar buaya di Sarawak.

Jumlah tertinggi direkodkan pada 2021 apabila membabitkan sembilan mangsa, lapan orang pada 2020, 2018 (7), 2022 (4), 2023 (3) dan 2019 (1).

Sekitar 45 batang sungai di negeri ini dikesan sebagai lubuk reptilia ganas itu.

Konflik buaya-manusia bukan sahaja berlaku di sungai, tetapi juga di dalam kandang buaya.

Pada 26 Mei 2023, seorang warga emas maut dalam keadaan yang sangat tragis, dibaham 40 ekor buaya apabila terjatuh ke dalam kandang ladang buaya milik keluarganya, di Siem Reapo, Kemboja.

Mangsa yang berusia 72 tahun cuba mengeluarkan seekor buaya dari sangkar tempat ia bertelur, dengan menggunakan sebatang kayu. Namun reptilia tersebut mencengkam kayu tersebut dan menariknya sehingga terjatuh ke dalam kandang

. Mangsa dikerumuni sekumpulan besar buaya yang rakus menyiat dan mengoyak seluruh anggota tubuh mangsa.

Cebisan mayat dipenuhi kesan gigitan. Lengan mangsa hilang.

Pada 2019 seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun turut maut ketika merayau-rayau di ladang keluarga di kampung yang sama.

Terdapat beberapa buah ladang buaya di sekitar Siem Reap, buaya diternak untuk telur, kulit dan daging. Yang pasti, buaya tidak memilih tempat untuk menyerang sesiapa sahaja, sama ada di sungai mahupun di daratan.

Bujang Senang, Bujang Belawai, Bujang Sudin dan Bujang Seblak merupakan gelaran buaya raksasa yang sering menjadi sebutan Yang pasti, Bujang Senang, yang mengganas sejak 1940-an hingga 1992 cukup popular, bukan hanya di Sarawak, tetapi sehingga ke rantau Asia Tenggara dan dunia.

Dengan saiz ‘mega’, sekitar lebih 19 kaki panjang dan enam kaki lebar, ia bagaikan sebuah perahu tambang atau lebih besar.

Malah ada yang mengatakan panjangnya 20 kaki dan lebarnya sebesar kereta.

Bujang Senang dibunuh pada 20 Mei 1992 setelah meragut banyak nyawa sepanjang lebih 40 tahun.

Setelah diukur, panjangnya 5,88 meter (19 kaki 3 inci) dan beratnya lebih dari satu tan (lebih 1,000 kg).

Buaya terbesar di dunia, menghuni di Sungai Bunawan, Wilayah Agusan del Sur, Filipina, dikenali sebagai Lolong, sepanjang 6.17 meter atau 20 kaki 3 inci, dan seberat sekitar lebin satu tan (1,300 kg). Ia ditangkap pada 2011 dan diletakkan di dalam sangkar.

Buaya kedua terbesar pula ditemui di Sungai Adelaide, Wilayah Australia, dokenali sebagai Dominator sepanjang 6.1 meter atau 20 kaki, dan seberat lebih satu tan (1,100 kg).

Yang pasti, Bujang Senang dikatakan menepati ciri-ciri pemangsa yang sangat digeruni dan dianggap sebagai ‘maharaja’ yang menakluk segala sungai.

Kerana itulah Bujang Senang diangkat sebagai antara “top 3” buaya gergasi di seluruh dunia, mengalahkan dua negara yang juga terkenal dengan “raja sungai yang buas”, Indonesia dan Thailand.

Menurut cerita orang dulu-dulu, sebaik Bujang Senang keluar dari lubuk mencari mangsa, keadaan sungai seolah-olah bergetar dan bergegar, kerana saiznya yang sangat besar, namun ia juga sangat pintar menyembunyikan diri ketika air pasang besar, seakan-akan tiada kelibatnya… air kelihatan tenang.

Gerak-gerinya begitu senyap, sehingga tiada kocakan air dan tiada sesiapa yang boleh menduga keberadaannya.

“Air yang tenang jangan disangka tiada buaya, kerana hakikatnya, air tenang ada buaya”.

Makhluk purba yang mula menghuni bumi sejak jutaan tahun yang lampau itu mempunyai deria yang sangat tajam dan tidak akan bertindak sembarangan.

Ia akan keluar dari lubuk apabila tersangat lapar, setelah berbulan-bulan, malah sehingga bertahun ‘berpuasa’.

Ia dikatakan mampu bertahan walaupun tidak makan selama dua tahun setengah.

Yang pasti, Kerajaan Sarawak serius dalam menangani peningkatan populasi buaya yang mengancam keselamatan dan nyawa masyarakat dengan 107 operasi menangkap buaya telah dilaksanakan sejak 2020.

Sepanjang operasi dalam tempoh tersebut hingga sekarang, SFC telah berjaya menangkap 95 buaya dan memindahkan 482 biji telur.

Malah, sebanyak 77 lesen perburuan juga telah dikeluarkan dengan hasil tangkapan sebanyak 133 ekor sejak 2020 hingga 2022.

Sarawak terus memperkasa usaha dan melakukan pemantauan kawalan populasi termasuk mewujudkan kawasan pemuliharaan buaya in-situ dan ex-situ di seluruh negeri.

Ia termasuk pengenalpastian habitat kritikal untuk tempat perlindungan dan menyediakan kemudahan penahanan buaya separa liar. 

Antara kawasan yang telah dikenal pasti ialah Pulau Seduku, Sungai Samunsam dan Tanah Bencah Kuching. 

Ia memenuhi keperluan pemuliharaan buaya dan memastikan keselamatan manusia dengan mengurangkan pertemuan langsung, boleh dibangunkan menjadi tarikan pelancong yang selamat. 

Langkah keselamatan yang ketat dan akses terkawal, pelancong boleh memerhati dan belajar tentang buaya di habitat semula jadi mereka.

Hakikatnya, konflik buayamanusia akan berterusan selagi ada sungai dan lubuk.

Cuma kita perlu mengambil langkah mengalah, menghormati habitatnya, kerana ada yang berkongsi rezeki di sungai yang sama.

Pantang larang orang duludulu tidak harus diambil mudah, di samping mengamalkan tuntutan agama masing-masing bagi mengelak musibah.

BERITA LAIN

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

BERITA TERBARU

Anyi cadang pewarisan senapang patah diperluas

KUCHING: Kelonggaran pewarisan senapang patah kepada adik-beradik kandung dicadangkan bagi menangani isu harta pusaka masyarakat Dayak, khususnya apabila pemilik meninggal dunia tanpa meninggalkan anak atau

Penduduk belanja RM3,500 sebulan bantu pelajar

KUCHING: Penduduk setempat membelanjakan kira-kira RM3,500 sebulan sejak tiga tahun lalu bagi menampung keperluan lebih 20 pelajar luar kawasan yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK)