KRISMAS sering dikaitkan dengan suasana keceriaan, kehangatan kasih sayang dan amalan memberi hadiah.
Salah satu budaya yang kini semakin popular di Malaysia, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa ialah pertukaran hadiah.
Budaya ini bukan sahaja diamalkan sempena Krismas, malah berkembang menjadi aktiviti sosial yang sering dilaksanakan dalam pelbagai acara seperti hari keluarga, majlis sambutan hari lahir, pertemuan semula dan majlis rasmi di tempat kerja.
Secara umumnya, aktiviti bertukar-tukar hadiah ini diatur melalui sistem undian.
Setiap peserta membawa hadiah mengikut syarat yang ditetapkan oleh penganjur, sama ada berdasarkan nilai harga tertentu atau tema khusus seperti hadiah buatan tangan.
Hadiah yang dibawa kemudiannya diserahkan kepada penganjur untuk proses undian.
Nama peserta dicatat pada kertas undian dan apabila undian dilakukan, nama yang tertera pada kertas akan menentukan penerima hadiah tersebut.
Proses ini bukan sahaja menyeronokkan kerana elemen kejutan, malah ia melibatkan interaksi mesra tetamu.
Sebagai contoh, dalam aktiviti “Secret Santa” pemberi hadiah tidak diketahui sehingga saat terakhir, yang menambahkan keseronokan dan kehangatan suasana.
Pertukaran hadiah menjadi popular kerana ia membawa pelbagai manfaat sosial yang nyata.
Pertama, ia berfungsi sebagai medium untuk mengeratkan silaturahim.
Melalui amalan memberi dan menerima hadiah, rasa penghargaan dan kebersamaan dapat dipupuk, tanpa mengira latar belakang budaya atau agama.
Kedua, aktiviti ini juga menyeronokkan, diselitkan dengan elemen kejutan dan kreativiti dalam memilih hadiah mengikut tema.
Sebagai contoh, tema ‘bawah RM20’ atau ‘hadiah paling lucu’ sering menjadi pilihan.
Ia memberikan cabaran kepada peserta untuk mencari hadiah yang unik. Ketiga, ia melambangkan perhatian terhadap orang lain.
Proses memilih hadiah mencerminkan usaha dan keprihatinan seseorang terhadap penerima, walaupun mungkin hadiah tersebut tidak mahal.
KESAN POSITIF
Secara tidak langsung, budaya ini menyumbang kepada pembangunan nilai positif dalam masyarakat.
Ia menanam semangat memberi yang merupakan nilai umum menggembirakan penerima serta mendidik pemberi untuk bersikap pemurah dan tidak berkira.
Selain itu, aktiviti ini juga dapat memupuk hubungan sosial yang lebih erat, terutamanya dalam kalangan komuniti yang jarang berinteraksi.
Sebagai contoh, dalam majlis perjumpaan semula, pertukaran hadiah boleh menjadi pemangkin kepada perbualan mesra yang menghidupkan kembali hubungan lama.
Dalam konteks tempat kerja pula, budaya ini sering digunakan untuk membina semangat berpasukan.
Apabila pekerja saling memberi dan menerima hadiah, hubungan antara rakan sekerja menjadi lebih harmoni dan produktiviti kerja meningkat.
SENSITIVITI BUDAYA DAN KEPELBAGAIAN
Walaupun budaya pertukaran hadiah ini semakin diterima secara meluas, penting untuk kita memahami sensitiviti budaya dan kepercayaan individu. Sesetengah pihak mungkin tidak selesa untuk menyertainya kerana alasan peribadi atau keagamaan.
Oleh itu, penganjur perlu memastikan aktiviti ini dijalankan secara inklusif dan tidak memaksa mana-mana pihak.
Sebagai alternatif, aktiviti ini boleh diubah menjadi pemberian hadiah yang berunsur amal, seperti menyumbangkan hadiah kepada golongan yang memerlukan.
Dengan cara ini, nilai kemanusiaan dapat diterapkan, selain mencipta pengalaman bermakna bagi semua pihak.
Kesimpulannya, budaya pertukaran hadiah bukan sekadar satu trend sosial yang menyeronokkan, tetapi ia juga membawa pelbagai manfaat dalam mengeratkan hubungan, memupuk nilai memberi dan mencipta suasana harmoni dalam masyarakat.
Dalam dunia yang semakin sibuk, aktiviti seperti ini dapat menjadi platform untuk menghargai orang di sekeliling kita.
Namun, penting untuk kita memastikan budaya ini dijalankan dengan penuh rasa hormat akan kepelbagaian budaya dan kepercayaan umum.
Dengan pendekatan inklusif, pertukaran hadiah dapat menjadi aktiviti yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga mendidik masyarakat tentang nilai kesederhanaan, keprihatinan dan kasih sayang sesama insan.



