Bukan sehari dua baiki rumah rosak

KUCHING: Bukan mudah membaiki rumah rosak teruk dalam tempoh sehari, demikian bayangan Adun Pending Violet Yong Wui Wui selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Kerajaan Persekutuan dalam Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU14).

Hari ini genap setahun PH menawan Kerajaan Persekutuan yang lebih enam dekad diperintah oleh Barisan Nasional (BN).

Tambah Violet, dalam tempoh setahun prestasi PH amat memuaskan terutamanya memerangi amalan rasuah.

“Ramai orang berkata kenapa tidak terus sumbat pemimpin yang mengamalkan rasuah ke dalam penjara?“ Harus diingat proses undang-undang memerlukan masa untuk diteliti sepenuhnya,” katanya kepada Suara Sarawak.

Kata Violet, PH turut melakar sejarahnya tersendiri apabila melantik seorang wanita menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Malah, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berusaha mengembalikan imej Malaysia yang calar di mata dunia dengan melawat pemimpin luar negara seperti China dan Eropah.

“Ini kerana pelabur hilang keyakinan selepas Najib terpalit dengan skandal rasuah terbesar di negara,” jelasnya.

Dari segi kesejahteraan rakyat pula, Violet berkata, i-Suri diperkenal untuk suri rumah agar dalam menabung di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk Bantuan Sara Hidup (BSH) khusus golongan B40.

Bagi Adun Palawan David Wong berkata, reputasi Malaysia di bawah pimpinan Najib semakin menurun di mata dunia.

“Najib juga mengekang kebebasan akhbar tetapi apabila di bawah PH kita ingin memberi peluang kepada rakyat melontarkan pandangan dan kritikan.

“Kita tidak boleh membelanjakan wang sewenang-wenangnya bagaikan tiada hari esok,” tegasnya.

Katanya, PH komited untuk memberi hak kepada rakyat Sarawak dengan membuat pindaan pada awal April lalu.

“Malangnya, Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengundi sehingga menyebabkan pindaan itu gagal diluluskan di Dewan Rakyat.“Jadi, dalam tempoh setahun, prestasi PH di hala tuju betul untuk menyelamatkan Malaysia demi generasi akan datang,” jelasnya.

Senada dengan David ialah Adun Tanjong Batu, Chiew Chui Sing yang berkata, PH di hala tuju sewajarnya dalam usaha memulihkan Malaysia.

“Kerajaan PH berusaha dengan keras untuk memulihkan Malaysia daripada kerosakan yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol mengakui yang perubahan dibawa oleh PH agak perlahan di mata rakyat.

“Kesannya mungkin kurang dirasai oleh rakyat dalam kehidupan seharian.

“Namun, kita perlu berfikir secara lojik yang ekonomi agak mustahil untuk dipulihkan dalam tempoh 100 hari, malah setahun pun terlalu singkat,” katanya.

Tegasnya, Kerajaan PH masih berusaha dan memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk melihat perubahan ekonomi Malaysia.

“PH bukan sahaja menjadi kerajaan menyelamatkan Malaysia dari segi ekonomi, malah pentadbiran terdahulu yang menyalahgunakan kuasa dan rasuah.

“Sebab itu kita dapat lihat, satu persatu kes skandal rasuah dibawa ke mahkamah,” katanya.

Katanya, jika dulu jarang didengar kes rasuah melibatkan pemimpin teratas dibawa ke mahkamah namun PH berjaya membuktikan undang-undang di atas kerajaan bukannya sebaliknya.

Justeru, beliau berharap agar rakyat Malaysia bersabar dengan PH kerana amalan rasuah sebelum ini menjadikan rakyat merana.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang pula terus berjuang untuk rakyat di kawasannya dengan memohon keperluan asas di peringkat Persekutuan.

Beliau menegaskan, setiap aspek pembangunan dan kemajuan sepatutnya meliputi kawasan luar bandar dan pedalaman supaya setiap masyarakat dapat menikmati kemajuan.

“Malaysia dalam era baharu yang dipimpin oleh PH harus melangkah ke depan untuk menyelesaikan masalah yang dialami oleh penduduk di luar bandar terutama di kawasan Parlimen Lubok Antu.

“Laksanakan pembangunan tanpa memberi syarat kepada rakyat demi kemajuan di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Berikutan itu, rekod beliau di kawasan Lubok Antu dianggap cemerlang apabila setiap majlis yang diadakan dihadiri oleh ramai orang.