ARTIKEL

PENULIS (tiga dari kanan) bersama-sama rakan dalam program Dekad Membaca Kebangsaan.

Bukan sekadar berkarya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Budaya warisan yang perlu dihidupkan

Ahli persatuan penulis turut berperanan mendokumentasikan, memelihara dan memperkenalkan budaya negara. Dalam masyarakat yang berubah pantas, sebahagian amalan tradisional berisiko dilupakan apabila generasi muda semakin jauh daripada sejarah dan maknanya.

Penulis boleh merakam adat, permainan tradisional, makanan warisan, seni persembahan, cerita rakyat, seni bina dan kearifan tempatan.

Dokumentasi yang baik bukan sekadar menyenaraikan nama atau cara sesuatu amalan dilakukan tetapi turut mengali falsafah dan nilai di sebaliknya.

Pantun ialah contoh warisan yang menunjukkan kebijaksanaan masyarakat dalam menyampaikan nasihat, kasih sayang, teguran dan sindiran secara halus.

Pantun pernah diiktiraf dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO melalui pencalonan bersama Malaysia dan Indonesia.

Pengiktirafan ini mengingatkan kita bahawa warisan tradisi mempunyai nilai yang boleh dikongsi dengan masyarakat dunia. Ahli persatuan boleh mengumpulkan pantun lama, mencipta pantun baharu dan memperkenalkan seni berpantun kepada generasi muda.

Di Sarawak, ruang dokumentasi amat luas. Penulis boleh mengangkat kisah benak Sungai Batang Lupar, Bukit Sadok, kehidupan rumah panjang, tradisi Gawai, seni tenunan, makanan tempatan dan cerita masyarakat pelbagai etnik.

Kisah benak misalnya, boleh dikembangkan menjadi puisi, cerpen, esei sejarah, dokumentasi sastera atau buku bergambar untuk kanak-kanak. Cerita lisan masyarakat Melayu, Iban, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu juga boleh dirakam, diterjemahkan dengan teliti dan diterbitkan dengan persetujuan pemilik tradisi.

Pendokumentasian budaya mesti dilakukan secara beretika. Bukan semua pengetahuan tradisional sesuai diterbitkan secara terbuka. Sesetengah cerita dan amalan mempunyai batas adat atau hak komuniti.

Oleh itu, persetujuan, pengiktirafan sumber dan penghormatan terhadap pemilik budaya perlu menjadi sebahagian daripada amalan penulisan. Budaya tidak cukup dipelihara dengan menjadi kehadiannya bahkan budaya perlu difahami, didokumentasikan dan diwariskan secara bermaruah.

Bina pelapis dan perluaskan penyertaan

Penulis perlu melahirkan penulis. Ini merupakan salah satu tanggungjawab ahli persatuan khususnya yang sudah bergelar penulis.

Persatuan penulis tidak boleh bergantung selama-lamanya pada nama-nama besar. Jika ahli berpengalaman hanya menghasilkan karya sendiri tanpa membimbing orang lain, gerakan sastera akan kehilangan kesinambungan.

Oleh itu, ahli perlu membina pelapis, termasuk murid sekolah, mahasiswa dan masyarakat yang baru berjinak-jinak dengan penulisan.

Program mentor mentori boleh dilaksanakan dengan penulis berpengalaman membimbing beberapa penulis baharu dalam tempoh tertentu.

Bimbingan boleh merangkumi pemilihan tema, pembinaan plot, pengembangan watak, penyuntingan puisi dan proses penerbitan.

Persatuan juga boleh melaksanakan projek ‘100 Penulis Muda, 100 Cerita Tempatan’ dengan peserta menulis tentang sesuatu yang dekat dengan mereka seperti keluarga, sejarah kampung, tokoh setempat, alam sekitar atau perubatan masyarakavat.

Karya terpilih boleh disunting dan diterbitkan sebagai antologi digital. Kerjasama dengan sekolah, perpustakaan, universiti, Dewan Bahasa dan Pustaka, penerbit serta organisasi kebudayaan boleh membuka peluang untuk sayembara, festival puisi, pembacaan karya dan penerbitan bersama.

Sastera bukan hanya untuk mereka yang bercita-cita menjadi penulis profesional. Ia membantu pelajar berfikir secara kritis, guru memperkaya pengajaran dan masyarakat merakam pengalaman.

Lebih ramai orang membaca dan menulis, sudah tentu lebih luas ruang sastera untuk berkembang.

Kejayaan dalam negara, pengiktirafan antarabangsa

Malaysia mempunyai tradisi sastera yang kaya dan penulis yang diiktiraf melalui pelbagai anugerah. Anugerah Sastera Negara misalnya, menghargai sumbangan besar tokoh yang memperkaya kesusasteraan kebangsaan.

Karya Usman Awang dan A. Samad Said terus dibaca serta dibincangkan kerana mengangkat persoalan kemanusiaan, keadilan sosial, maruah dan kehidupan masyarakat.

Di peringkat kebangsaan, Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan pelbagai penghargaan negeri pula menyediakan ruang untuk menilai serta mengiktiraf mutu karya.

Penulis Malaysia turut menyertai kegiatan sastera serantau dan menerima pengiktirafan antarabangsa, termasuk Anugerah Penulis Asia Tenggara yang menghimpunkan penulis dari negara-negara Asia Tenggara.

Pencapaian seperti ini menunjukkan bahawa karya yang berakar pada pengalaman tempatan boleh mendapat perhatian pembaca di luar negara. Namun, anugerah hanyalah satu pengiktirafan atau bonus dan bukan parameter yang mutlak.

Karya yang terus dibaca, diterjemahkan, dikaji dan memberi kesan kepada masyarakat merupakan kekayaan yang besar.

Persatuan penulis boleh membantu ahli mencapai mutu dan jangkauan yang lebih luas dengan mengadakan bengkel lanjutan, sesi bersama manuskrip serta perkongsian maklumat tentang penerbitan dan sayembara.

Persatuan juga boleh membina hubungan dengan organisasi sastera negara lain melalui pertukaran penulis, bacaan puisi, seminar bersama dan projek antologi dwibahasa.

Terjemahan perlu diberi perhatian kerana menjadi jambatan yang menghubungkan pengalaman tempatan dengan pembaca antarabangsa.

Program seumpama ini wajar diberi sokongan padu oleh ahli persatuan kerana manfaatnya akan mengelar kepada ahli.

Kejayaan program luar negara pula tidak sepatutnya diukur berdasarkan jumlah lawatan semata-mata. Yang lebih penting ialah hasil yang dibawa pulang.

Adakah terhasil penerbitan bersama, terjemahan, pertukaran ilmu atau jaringan yang berterusan? Pengiktirafan antarabangsa memerlukan karya yang kuat, usaha yang tekal dan jalina profesional yang dibina dengan serius.

• Penulis ialah Presiden Persatuan Karyawan Sastera Sarawak.

BERITA LAIN

Hobi gubah hamper buka rezeki

Bermula dengan percubaan menghasilkan hamper untuk mengisi masa lapang, minat seorang wanita terhadap seni gubahan itu kini mendorongnya mengusahakan perniagaan kecil-kecilan yang mendapat sambutan menggalakkan.

Pencapaian penulis PUTERA

DALAM konteks perkembangan sastera di Sarawak, Hadiah Sastera Sarawak (HSS) memainkan peranan penting sebagai wadah pengiktirafan terhadap ketekunan, kreativiti dan sumbangan para penulis tempatan. Sebelum

BERITA TERBARU

RODRIGUEZ tampil dengan nada baharu

Membawa elemen muzik pop Iban kontemporari dengan pendekatan yang lebih segar, penyanyi muda Rodriguez Wan tampil menerusi single terbaharunya, Nadai Endur Mantah, yang mengetengahkan cita

Udara bersih satu kemewahan

UNTUK sekadar berjoging, ada yang kini terpaksa melupakan taman rekreasi dan berlari di dalam pusat beli-belah. Itulah yang berlaku kepada sebahagian pelari di Singapura dan