KUCHING: Seorang pelajar sekolah menengah diperintahkan menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana membuli seorang remaja perempuan dengan mengeluarkan kata-kata ugutan jenayah untuk menikam mangsa sebanyak 300 kali serta mengugut menyuruh orang lain merogol mangsa.
Majistret Mason Jaro Lenya Berayan turut memerintahkan remaja lelaki berusia 13 tahun itu melaporkan diri ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dua bulan sekali.
Tertuduh dan ibu bapa juga diperintahkan mengikuti program interaktif sepanjang tempoh bon terbabit.
Ibu bapa tertuduh turut diperintahkan menemaninya melaporkan diri ke JKM atau balai polis berdekatan berdasarkan Seksyen 93(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2021.
Kesemua perintah tersebut diputuskan oleh mahkamah selepas pendengaran laporan akhlak tertuduh daripada JKM hari ini.
Terdahulu, pada 30 Oktober 2025, remaja terbabit mengaku bersalah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kerana sengaja mengeluarkan kata-kata ugutan jenayah untuk menikam mangsa berusia 13 tahun sebanyak 300 kali serta mengugut akan menyuruh orang lain merogol mangsa.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di dalam bilik kelas di sebuah sekolah menengah di Padawan sekitar 2.20 petang, 21 Oktober tahun lalu.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh dan seorang lagi rakannya telah mengganggu pengadu semasa sedang menelaah pelajaran.
Tindakan itu menyebabkan pengadu berasa tidak selesa dan terganggu secara emosi kerana tidak tahan dengan gangguan berterusan daripada tertuduh dan rakannya.
Kemudian, pengadu tampil membuat laporan polis untuk rujukan dan tindakan disiplin pihak sekolah terhadap pelaku.
Bertindak atas laporan itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Sylvarius Gopog bersama-sama Sarjan Ridvaner Haddi dan beberapa anggota yang lain, sebelum menahan tertuduh.
Hasil siasatan mendapati tertuduh mengeluarkan ugutan jenayah dengan mengancam menikam mangsa sebanyak 300 kali seperti kes yang berlaku di sebuah sekolah di Petaling Jaya, Selangor, serta mengugut akan menyuruh orang lain merogol mangsa.
Dalam kejadian yang sama, rakan tertuduh membaling objek pita pembetulan ke arah mangsa sehingga menyebabkan kecederaan lebam.
Kesan daripada ugutan dan ancaman itu, mangsa menjadi takut serta trauma untuk ke sekolah.
Semasa kejadian berlaku, terdapat saksi yang melihat dan berada di tempat kejadian.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan.
Manakala, tertuduh yang hadir bersama-sama ibu bapa tanpa diwakili peguam.


