TROMPET malaikat, Angel’s trumpet atau nama botaninya, Brugmansia ialah genus daripada tujuh spesies berbunga dalam keluarga Solanaceae.
Ia biasanya ditanam sebagai tanaman hiasan dan berasal dari kawasan tropika di Amerika Selatan.
Trompet Malaikat yang berbunga sepanjang tahun senang ditanam.
Daunnya berwarna kelabu kehijauan dan bentuknya seperti lembing.
Bunganya besar, berbau wangi dan tumbuh terjuntai serta tidak menegak kerana tidak mempunyai tulang belakang.
Ia menyerupai sebuah trompet dan apabila bergantung di pokok, ia kelihatan seperti loceng.
Bunga Brugmansia merupakan yang paling panjang dalam kumpulan spesies lain dan jika terdedah kepada pancaran matahari, bunganya akan tumbuh dengan begitu banyak sekali.
Ia mengeluarkan bau yang amat harum terutama pada waktu malam.
Warnanya pelbagai daripada merah jambu, emas, putih sehingga ke warna kuning.
Bunga Brugmansia secara tradisinya digunakan dalam banyak budaya penduduk peribumi Amerika Selatan antaranya dalam persediaan perubatan dan sebagai ritual untuk ramalan, untuk berkomunikasi dengan nenek moyang, sebagai racun dalam sihir dan ilmu hitam.
Dari segi perubatan, ia digunakan secara luaran sebagai bahan tuam dan salap pada kulit untuk merawat lenguh dan sakit, dermatitis, artritis, penyakit sendi, sakit kepala, jangkitan dan sebagai satu antiradang.
Bunga ini lebih jarang diunakan secara dalaman kerana ia dikatakan beracun.



