MEDIA sosial kini menjadi sebahagian daripada nadi kehidupan masyarakat moden yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seharian. Platform seperti Facebook, Instagram, TikTok dan WhatsApp bukan sahaja berfungsi sebagai medium komunikasi, malah berkembang menjadi ruang utama untuk mendapatkan maklumat, hiburan, pendidikan dan peluang ekonomi.
Perkembangan pesat teknologi digital ini mengubah cara manusia berinteraksi, bekerja dan membuat keputusan dalam kehidupan seharian. Namun, di sebalik kemudahan yang ditawarkan, timbul persoalan penting, iaitu sejauh manakah etika diamalkan dalam penggunaan media sosial oleh masyarakat pada hari ini?

Berdasarkan laporan DataReportal oleh We Are Social dan Meltwater, jumlah pengguna media sosial global pada 2025 dianggarkan melebihi 5.4 bilion orang, iaitu lebih separuh daripada populasi dunia. Di Malaysia pula, jumlahnya sekitar 25 juta pengguna aktif media sosial, menjadikan negara ini antara yang mempunyai kadar penggunaan tertinggi di rantau Asia Tenggara.
Platform seperti TikTok sahaja mencatatkan lebih 28 juta pengguna dewasa di Malaysia, diikuti oleh YouTube dan Facebook yang masih dominan dalam penggunaan harian masyarakat. Statistik ini jelas menunjukkan betapa besarnya pengaruh media sosial dalam membentuk gaya hidup, pemikiran dan budaya komunikasi masyarakat moden.
Perubahan landskap digital ini membawa kepada transformasi besar dalam cara masyarakat, khususnya golongan muda, menjalani kehidupan harian. Jika dibandingkan dengan era 1990-an, perbezaannya amat ketara. Pada waktu itu, kehidupan anak-anak muda lebih tertumpu kepada aktiviti fizikal dan interaksi bersemuka. Permainan tradisional seperti galah panjang, gasing, congkak, batu seremban serta berbasikal dan bermain bola di padang menjadi rutin harian selepas waktu persekolahan.
Hubungan sosial pula terbina secara langsung dalam komuniti setempat, sekali gus mengeratkan hubungan kejiranan dan semangat kekitaan.
Namun, pada masa kini yang serba digital, corak kehidupan anak muda berubah secara drastik. Penggunaan telefon pintar, tablet dan komputer riba menjadi keperluan utama dalam kehidupan seharian. Media sosial dan permainan video dalam talian mewujudkan ruang sosial baharu yang bersifat maya, dengan interaksi yang tidak lagi bergantung kepada kehadiran fizikal.
Walaupun keadaan ini membuka peluang komunikasi tanpa sempadan, ia juga mengurangkan aktiviti fizikal serta interaksi bersemuka dalam kalangan masyarakat. Perubahan ini turut memberi kesan terhadap kesihatan mental, tahap tumpuan dan gaya hidup.
Penggunaan media sosial yang berlebihan sering dikaitkan dengan gangguan fokus, ketagihan penggunaan skrin serta tekanan emosi akibat perbandingan sosial yang tidak sihat. Golongan muda khususnya mudah terdedah kepada pengaruh kandungan dalam talian yang tidak ditapis sepenuhnya, sekali gus memberi kesan kepada pembentukan nilai dan akhlak. Malah, terdapat kebimbangan dalam kalangan pihak berkuasa terhadap isu disiplin dan moral yang berpunca daripada penggunaan media sosial tanpa kawalan, sehingga timbul cadangan untuk memperkenalkan sekatan umur tertentu bagi pengguna platform digital.
Dalam konteks ini, etika penggunaan media sosial menjadi aspek yang amat penting untuk diberikan perhatian. Etika merangkumi cara seseorang berkomunikasi, berkongsi maklumat dan menghormati hak serta privasi orang lain dalam ruang digital.
Namun, realitinya masih terdapat segelintir pengguna yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan berita palsu, menghina individu lain atau menyebarkan kandungan negatif yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. Keadaan ini menunjukkan kemajuan teknologi tidak semestinya seiring dengan kematangan dalam penggunaan jika tidak disertai dengan kesedaran etika yang tinggi.
Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan media sosial juga membawa banyak manfaat jika digunakan secara berhemah. Ia boleh menjadi platform pembelajaran, perniagaan dalam talian, perkongsian ilmu serta sebagai medium untuk menyebarkan maklumat bermanfaat kepada masyarakat. Ramai individu dan usahawan muda berjaya menjana pendapatan melalui platform digital ini, sekali gus membuktikan media sosial mampu menjadi alat pembangunan ekonomi jika dimanfaatkan dengan betul.
Justeru, media sosial merupakan satu revolusi besar dalam kehidupan manusia moden yang membawa pelbagai manfaat dan cabaran. Perbezaan ketara antara kehidupan dahulu dengan kini menunjukkan bagaimana teknologi mengubah cara manusia berinteraksi dan menjalani kehidupan seharian.
Namun, dalam menikmati kemudahan ini, aspek etika tidak boleh diabaikan kerana penggunaan media sosial secara berhemah, beretika dan bertanggungjawab amat penting bagi memastikan ia terus menjadi alat yang memberi manfaat, bukannya mudarat kepada masyarakat.
Oleh itu, keseimbangan antara kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan perlu sentiasa dipelihara agar generasi akan datang dapat menikmati dunia digital yang lebih sihat dan harmoni.




