KUCHING: Pengunjung Kuching Festival Fair 2026 berpeluang membawa pulang dua buah motosikal menerusi cabutan bertuah sempena festival berkenaan yang berlangsung dari 22 Julai hingga 16 Ogos ini.
Dua motosikal berkenaan, iaitu SM Sport 110E dan skuter elektrik EZI RAY-01, ditaja oleh Tay Motor sebagai hadiah utama bagi cabutan bertuah yang dibuka kepada semua pengunjung berusia 16 tahun ke atas.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, penganjuran cabutan bertuah ini bertujuan menambah kemeriahan Kuching Festival Fair yang saban tahun menjadi antara acara paling dinanti-nantikan di Sarawak.
“Festival ini bukan sahaja menjadi platform menghimpunkan pelbagai juadah makanan, persembahan hiburan dan pameran, malah turut menyediakan aktiviti menarik untuk seisi keluarga.
“Setiap tahun, Kuching Festival Fair berjaya menarik ratusan ribu pengunjung dan tahun ini, kita mahu ia lebih meriah dengan menyediakan cabutan bertuah khas,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Cabutan Bertuah Kuching Festival Fair 2026, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya penyertaan cabutan bertuah ini mudah dan percuma, dengan pengunjung hanya perlu mendapatkan borang penyertaan di Pondok Urus Setia MBKS yang terletak menghadap Jalan Utama Padungan.
Peserta perlu melengkapkan maklumat seperti nama, alamat, nombor kad pengenalan serta nombor telefon sebelum memasukkan borang tersebut ke dalam kotak cabutan bertuah yang disediakan.
Tambah Wee, cabutan nama pemenang akan diadakan pada malam 16 Ogos, iaitu hari terakhir Kuching Festival Fair 2026.



