ARTIKEL

Cadang mata pelajaran perpaduan di sekolah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang memperkenalkan sukatan mata pelajaran berteraskan perpaduan dalam usaha menyemai dan menyemarakkan lagi nilai-nilai kebersamaan dalam kalangan rakyat.

Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) Tan Sri Lee Lam Thye berpandangan usaha itu perlu bagi memastikan generasi muda negara ini didedahkan dengan nilai-nilai perpaduan seawal bangku sekolah.

“Jika perpaduan boleh dijadikan sebagai satu mata pelajaran di sekolah, maka saya fikir kita melakukan perkara yang betul untuk membantu memupuk perpaduan di negara ini. Saya berpendapat sejauh mana Malaysia akan berkembang dan maju semuanya bergantung kepada perpaduan rakyat.

“Sungguhpun kita bercakap soal ekonomi, digitalisasi, sains dan sebagainya, tetapi yang menentukan segala-galanya di negara kita yang berbilang bangsa, kaum dan agama ini ialah perpaduan,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata usaha memperkasakan nilai perpaduan dalam negara perlu diberi perhatian khusus dan pendekatan memperkenalkan mata pelajaran berteraskan perpaduan langkah tepat dalam merealisasikan matlamat itu.

“Bagi saya tidak ada tempat yang lebih baik (untuk laksana) daripada di sekolah untuk mendidik, menggalak dan membolehkan semua pelajar tidak mengira kaum menghargai antara satu sama lain serta mengamalkan nilai-nilai perpaduan. Semua ini harus bermula di sekolah,” katanya.

Pada Rabu lepas, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy ketika menghadiri sambutan Hari Perpaduan di Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist berkata penganjuran Hari Perpaduan di sekolah menjadi platform terbaik untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar sekolah.

Malah, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai berharap program sedemikian dapat dicadangkan kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perpaduan Negara untuk dilaksana di semua sekolah di seluruh negara pada setiap tahun.

Senada dengan itu, Lee berkata pihak sekolah juga dilihat berperanan penting dalam usaha mempromosikan nilai-nilai perpaduan dengan penganjuran aktiviti melibatkan pelbagai kaum antara sekolah.

“Sebagai contoh, sekolah kebangsaan (SK) boleh mengundang pelajar dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) untuk menyertai aktiviti sekolah. Begitu juga sekolah Cina menganjurkan sukan, mereka boleh mengundang pelajar dari sekolah kebangsaan atau Tamil untuk terlibat sama. Ini membolehkan mereka saling berinteraksi,” katanya.

Bahkan, Lee berpandangan bahawa isu membabitkan sekolah vernakular yang dimainkan oleh pihak tertentu dilihat tidak wajar untuk dibangkitkan kerana perkara itu telah termaktub dalam sistem pendidikan dan Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan memperuntukan bahawa negara ini, Malaysia, adalah unik kerana kita mempunyai SK, SJKC dan SJKT. Bagaimanapun, dengan memiliki sekolah yang berbeza bukan bermakna kita tidak boleh bersatu dan berinteraksi antara sekolah,” katanya.– BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Ultras Bluewave bawa sorakan Hong Kong ke Kuching

KUCHING: Demi menyokong pasukan kesayangan, kira-kira 40 penyokong tegar Kitchee SC sanggup merentas lautan dari Hong Kong ke Kuching bagi menyaksikan aksi Liga Juara-Juara Asia

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan