Cadangan pindaan terlalu tergesa-gesa – Wanita SUPP

KUCHING: Keputusan ahli Parlimen GPS untuk menangguhkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 mendapat sokongan Pergerakan Wanita SUPP.Pengerusinya Kho Teck Wan berkata, pindaan yang dicadangkan itu terlalu tergesa-gesa tetapi tidak ada perubahan kepada status Sabah dan Sarawak.

Malah, katanya ia juga tidak melalui perbincangan di peringkat Dun Sarawak dan Sabah kerana menurut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pindaan perlem-bagaan yang memberi kesan kepada negeri-negeri Borneo tidak akan dibuat tanpa persetujuan Yang di-Pertua Negeri.

“Saya yakin mereka (ahli Parlimen GPS) akan bertarung dengan lebih gigih dan berani untuk Sarawak esok (hari ini)“Orang Sarawak kini lebih arif, belajar dan berhati-hati,” katanya semalam.

Dalam pada itu, Teck Wan turut menempelak pemimpin PH Sarawak yang mengaku memulakan proses rundingan MA63, sedangkan semua rakyat Sarawak tahu bahawa perjuangan itu dimulakan oleh bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Menjelas lanjut, rundingan kuasa antara Adenan dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Razak menghasilkan kuasa pentadbiran yang besar kepada Sarawak dalam bidang undang-undang, pendidikan, perubatan, alam sekitar dan jalan raya.

Beliau menambah rakyat Sarawak diberi peluang lebih besar untuk memasuki program pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) manakala perumahan dan sukan diuruskan bersama oleh Sarawak dan Persekutuan.

“Semua yang dilakukan oleh Adenan adalah autonomi sebenar untuk Sarawak.“Manakala PH pula menjanjikan 20 peratus royalti minyak kepada Sarawak dan pulangan 50 peratus cukai jualan yang dikutip di Sarawak namun gagal menunaikan janji-janji itu.“

Dan hari ini Sarawak dipaksa untuk menerima pindaan Fasal 1(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kho menyifatkan pindaan yang dicadangkan itu sebagai taktik penangguhan dan pengalihan Kerajaan PH terhadap tumpuan Sarawak dalam mengejar autonomi sebenar.

Justeru beliau menyeru rakyat Sarawak supaya terus menyokong Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam memperjuang autonomi Sarawak.

“Apa gunanya meminda Perlembagaan Persekutuan jika rakyat terus menderita akibat peningkatan kos hidup dan Kerajaan Persekutuan terus membatalkan projek pembangunan infrastruktur Sarawak,” katanya.