PERSOALAN yang harus difahami oleh masyarakat hari ini ialah kesan jangka panjang terhadap mangsa rogol. Ia tidak terhad kepada kecederaan fi zikal tetapi sering kali lebih berat dari segi psikologi dan emosi.
Mangsa mungkin mengalami trauma mendalam seperti kemurungan, gangguan kecemasan dan gangguan tekanan pascatrauma (PTSD), yang boleh mempengaruhi kehidupan harian mereka.
Misalnya, mangsa sering dihantui mimpi buruk, rasa takut berterusan atau kesukaran mempercayai orang lain. Kanak-kanak yang menjadi mangsa pula menghadapi cabaran besar untuk meneruskan pendidikan — mereka berasa malu, terasing atau diejek rakan sebaya.
Selain itu, stigma masyarakat yang kerap menyalahkan mangsa turut memburukkan keadaan, menjadikan mereka sukar untuk mendapatkan sokongan emosi atau bantuan profesional.
Kesan ini bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup mangsa, tetapi juga memerlukan sokongan berterusan melalui kaunseling, pemulihan dan perubahan sikap masyarakat untuk mbolehkan mereka memulakan hidup baharu dengan lebih positif.
Justeru, langkah penambahbaikan seperti pendidikan seksual menyeluruh ialah kunci untuk mengatasi isu gangguan seksual dan rogol di Sarawak.
Ia terdiri daripada kurikulum khas yang berfokus persetujuan, sempadan perhubungan dan penghapusan stereotaip gender.
Melalui pendidikan ini, remaja dan golongan muda dapat memahami hak mereka, menghormati hak orang lain dan mengenal pasti tingkah laku tidak wajar yang melanggar persetujuan.
Sebagai tambahan, program pendidikan ini harus disokong dengan kempen kesedaran di peringkat komuniti untuk mengubah sikap tradisional yang sering menyalahkan mangsa.
Contohnya, Program Sesi Toleransi Gangguan Seksual di Tempat Kerja yang dianjurkan oleh Sarawak Energy pada 2023 membuka ruang untuk perbincangan yang lebih mendalam tentang isu ini, mencabar norma lama dan memupuk budaya yang lebih inklusif dan selamat.
Usaha seperti ini bukan sahaja membantu meningkatkan kesedaran tetapi juga memberikan panduan praktikal tentang cara menangani dan melaporkan kes gangguan seksual.
Dengan melibatkan pihak kerajaan, NGO dan komuniti dalam pelaksanaan pendidikan seksual menyeluruh, Sarawak boleh memimpin usaha membentuk masyarakat yang penyayang dan prihatin.






