BAJU kurung terus kekal sebagai pilihan utama masyarakat setiap kali menjelang Aidilfi tri kerana keindahan rekaannya yang sederhana, sopan serta sarat dengan nilai tradisi.
Menurut tukang jahit tempatan, Rahna Bohari, keistimewaan baju kurung terletak pada keanggunan reka bentuknya yang sederhana, namun tetap menyerlahkan identiti budaya Melayu.
“Busana tersebut bukan sahaja sesuai digayakan oleh pelbagai peringkat umur, malah mampu memberikan penampilan yang sopan dan elegan dalam manamana suasana.
“Orang ramai perlu memilih baju kurung yang bukan sahaja cantik, malah selesa dipakai sepanjang hari,” katanya kepada Suara Sarawak.
Mengulas lanjut, katanya, pemilihan fabrik amat penting terutamanya semasa Aidilfi tri bagi memastikan pemakai sentiasa berasa selesa.
Ujarnya, fabrik perlu sesuai dengan cuaca dan potongan baju pula tidak terlalu ketat supaya pemakai mudah bergerak serta lebih selesa ketika berkunjung ke rumah saudaramara.
Berkongsi pandangannya, Rahna memberitahu, bagi rekaan sempena Aidilfi tri tahun ini, konsep yang diketengahkan lebih menekankan gabungan elemen tradisional dengan sentuhan moden.
Katanya, hal ini bagi memastikan busana tersebut kekal relevan dalam kalangan masyarakat.
“Saya mengambil inspirasi rekaan daripada keindahan budaya Melayu yang menampilkan potongan klasik, disesuaikan dengan gaya semasa agar lebih menarik dan selesa digayakan.
“Dari segi trend pula, baju kurung dengan potongan yang lebih kemas dan ringkas dijangka menjadi pilihan ramai pada musim perayaan ini.
“Di samping itu, warna-warna lembut seperti pastel turut mendapat perhatian kerana memberikan penampilan yang elegan,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau menekankan kepentingan mengekalkan ciri-ciri tradisional seperti potongan longgar dan reka bentuk yang sopan bagi mengekalkan keaslian baju kurung.
Pada masa yang sama, sentuhan moden diterapkan melalui variasi pada bahagian lengan, kolar serta penggunaan fabrik yang lebih pelbagai tanpa mengubah identiti asal busana tersebut.
Menjelang Aidilfi tri, sambutan pelanggan terhadap tempahan baju kurung dan baju Melayu juga dilihat amat menggalakkan.
Dedahnya, kebanyakan pelanggan sudah mula membuat tempahan lebih awal bagi memastikan pakaian mereka siap tepat pada waktunya.
Namun begitu, musim tempahan raya turut membawa cabaran tersendiri kepada tukang jahit, terutama dari segi pengurusan masa dan jumlah tempahan yang meningkat dengan ketara.
“Ketika musim raya, tempahan memang banyak dan memerlukan perancangan yang teliti agar semua pakaian dapat disiapkan mengikut jadual.
“Ada yang tidak sabar dan mahu baju mereka disiapkan lebih awal.
Namun begitu, keutamaan diberikan kepada mereka yang menghantar tempahan lebih awal.
“Selain itu, jenis kain juga menjadi cabaran kerana ada antara kain yang licin, menyebabkan proses menyiapkan baju menjadi agak lambat,” ujarnya lagi.
Tambah Rahna, baju kurung bukan sekadar pakaian untuk digayakan ketika hari raya, malah melambangkan warisan budaya yang perlu terus dipelihara oleh generasi masa kini.
“Busana tradisional tersebut mempunyai nilai estetika tersendiri yang menggambarkan kesopanan serta kehalusan budaya Melayu.
“Walaupun pelbagai fesyen moden diperkenalkan saban tahun, baju kurung tetap mempunyai tempat istimewa dalam kalangan masyarakat kerana rekaannya yang versatil dan sesuai dipakai dalam pelbagai majlis, bukan sahaja ketika musim perayaan.
“Diharapkan generasi muda terus menghargai dan mengangkat busana tradisional tersebut sebagai sebahagian daripada identiti budaya, sekali gus memastikan baju kurung terus kekal relevan dan diminati pada masa hadapan,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Rahna turut memberitahu, dia belajar menjahit sejak remaja dan tidak mengikuti pembelajaran jahitan secara profesional, sebaliknya hanya belajar daripada ramai orang di kampung.
Tambahnya, semakin banyak sumber pembelajaran yang diperoleh, semakin bertambah ilmu yang dapat dipelajari.
Sehingga kini, dia memanfaatkan ilmu jahitan tersebut dengan membuka kedai Rahna Garments di Medan Ria Mukah.
Justeru, Rahna berharap dia dapat terus meningkatkan perniagaannya dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan.



