BINTULU : Ancaman kebakaran tanah gambut dan pembakaran terbuka yang semakin berisiko memerlukan tindakan pencegahan segera bagi mengelakkan kesan buruk terhadap alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat, kata Kontroler Kualiti Alam Sekitar, Datuk Jack Liam.
Menurut beliau, tanah gambut yang berfungsi sebagai takungan karbon semula jadi amat mudah terdedah kepada kebakaran sekiranya tidak diurus dengan baik, sekali gus memberi kesan berpanjangan terhadap ekosistem dan kesihatan awam.
Jelasnya lagi, kebakaran tanah gambut berbeza daripada kebakaran biasa kerana ia boleh merebak di bawah permukaan tanah, sukar dikesan serta mengambil masa lama untuk dipadamkan sepenuhnya.
“Kebakaran berlaku apabila tiga unsur utama iaitu haba, bahan bakar dan oksigen hadir secara serentak. Justeru, langkah pencegahan seperti mengelakkan pembakaran terbuka, mengekalkan kelembapan tanah serta mengawal aktiviti berisiko perlu diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti Jepak di Dewan Masyarakat Kampung Jepak pada Khamis.
Tegas Jack lagi, kesan kejadian tersebut bukan sahaja mengakibatkan jerebu dan pencemaran udara, malah turut menjejaskan sumber air, aktiviti pertanian serta mengancam biodiversiti dan habitat semula jadi.
Menurutnya, usaha menangani isu berkenaan memerlukan kerjasama menyeluruh antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti setempat bagi memastikan kesedaran serta tindakan pencegahan dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Setiap pembakaran terbuka memberi impak besar kepada kesihatan, keselamatan dan ekonomi masyarakat. Oleh itu, tanggungjawab ini perlu dipikul bersama,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar mengelakkan pembakaran terbuka walaupun dalam skala kecil, melaporkan sebarang kejadian kebakaran dengan segera serta mengamalkan pengurusan sisa yang lebih teratur.
Lebih 200 peserta terdiri daripada komuniti kawasan Jepak menghadiri program anjuran Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Bahagian Bintulu itu. Program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta memperkukuh kerjasama dalam menangani isu kebakaran tanah gambut di kawasan berisiko.



