ARTIKEL

Foto: Freepix.com

Cerita kerusi kosong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PENYAKIT buah pinggang kronik (CKD) merupakan satu krisis kesihatan yang membimbangkan di Malaysia.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), satu daripada tujuh orang dewasa di negara ini menghidap penyakit tersebut.

Sekitar 2011, peratus penghidap penyakit buah pinggang hanya sekitar sembilan peratus.

Namun, pada 2018, naik kepada 15.48 peratus, iaitu lebih lima juta orang.

Setiap tahun, lebih 9,500 pesakit baharu mula dialisis, cukup untuk memenuhkan sebuah stadium kecil — data Pendaftaran Dialisis dan Pemindahan Malaysia.

Daripada hanya 6,702 orang pada 2000, kini hampir 40,000 orang hidupnya terikat pada mesin.

Jika trend ini berterusan, menjelang 2040, lebih 106,000 rakyat Malaysia akan bergantung pada dialisis untuk hidup.

Punca utama?

Diabetes dan tekanan darah tinggi dikatakan punca utama penyakit tersebut, sehingga menyebabkan fungsi buah pinggang merosot secara beransur-ansur dan boleh membawa kepada kegagalan fungsinya.

Sehubungan itu, jangan pandang remeh penyakit ini.

Jaga sebelum terlambat.

Kalau kita lihat di sekeliling, ramai yang berisiko mendapatkannya.

Saya tertarik kisah yang diutarakan Public Health Malaysia di Facebook rasmi pihak itu.

Cerita tentang “kerusi kosong”.

Dalam tulisan berkenaan, kerusi kosong di hujung pusat dialisis itu bukan kerana tiada pesakit, tapi  kerana seorang tidak “kembali”.

Mesin masih berbunyi, jarum masih menusuk lengan pesakit lain, darah masih berpusing di dalam tiub lut sinar.

Di luar kaca, seorang anak kecil melambai perlahan pada ayahnya yang terikat empat jam setiap sesi.

Mereka hafal tempoh menunggu, tiga kali seminggu tanpa gagal.

Lelaki itu dulu sihat, umur baru 40 tahun, kerja kuat dan badan tegap.

Sakit belakangnya ditelan dengan pil tahan sakit yang dibeli macam gula-gula.

Air kosong minum sikit pun cukup, katanya.

Malam ambil mi segera, hujung minggu ayam goreng, air manis jadi kebiasaan.

Dia tak pernah terfikir dua organ kecil di dalam tubuhnya sedang reput perlahan-lahan.

Sampai suatu hari, muka jadi sembap, kaki berbekas apabila ditekan.

Kencing berbuih macam sabun.

Dia fikir itu penat, namun hospital fikir itu amaran.

Apabila akhirnya ujian darah dibuat, doktor hanya menggeleng kepala.

“Buah pinggang encik sudah rosak, dan benda ini takkan pulih!”

Itu realiti paling pedih memandangkan buah pinggang yang gagal tidak akan sembuh semula.

Rawatan dialisis hanya meminjam masa.

Pemindahan mungkin memberikan peluang, tetapi barisan menunggu sangat panjang, kos tinggi dan penderma jarang.

Antara mesin dengan pemindahan, jawapan paling ramai takut dengar adalah “tanah”.

Namun, dialisis bukan pengakhiran, tapi bukan juga kehidupan yang sama.

Bayangkan empat jam duduk di kerusi, tiga kali seminggu, jarum besar menusuk vena, darah berpusing keluar masuk.

Bayangkan anak kecil yang membesar di luar pintu pusat dialisis, menunggu mak ayahnya selesai.

Bayangkan kerja terpaksa ditinggalkan, percutian dilupakan, hidup diikat pada jadual mesin.

Satu soalan yang selalu berulang — “Doktor, kalau saya jaga betulbetul lepas ni, boleh baik balik ke?”

Jawapannya tidak pernah berubah.

Tidak!

Buah pinggang yang gagal tidak akan kembali normal. Kita selalu rasa tragedi berlaku kepada orang lain.

Sampai suatu pagi kita bangun dengan muka sembap.

Sampai suatu petang kita berjalan dengan badan yang pelik letihnya. Sampai suatu malam buih di mangkuk tandas tidak hilang.

Sampai suatu hari kertas darah keluar dengan angka yang menghukum.

Persoalannya kini, kerusi kosong di hujung pusat dialisis tadi mungkin giliran siapa pula esok?

Sanggupkah anda membiarkan hidup anda dimiliki mesin hanya kerana hari ini anda terlalu malas minum air kosong?

Masyarakat juga harus ingat, puncanya bukan semata-mata diabetes atau darah tinggi.

Kadang-kadang perkara remeh yang kita anggap biasa seperti pengambilan pil tahan sakit yang ditelan hari-hari, makanan segera yang penuh garam, air kosong yang disekat sebab sibuk, herba dan suplemen yang kononnya selamat, rokok dan vape yang merosakkan salur darah halus.

Semua itu nampak kecil, tapi perlahan-lahan membunuh.

Sehubungan itu, kita digalak menjaga buah pinggang sejak awal kerana ia ialah organ penting yang menapis darah, mengeluarkan bahan buangan dan mengawal keseimbangan cecair di dalam badan.

Beberapa perkara asas boleh dilakukan, pertama mengamalkan pemakanan sihat. Kurangkan garam, makanan segera, makanan bergoreng dan minuman manis berlebihan.

Lebihkan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan sumber protein sihat seperti ikan, ayam tanpa kulit, serta kekacang.

Kedua, kawal pengambilan air, iaitu minum air secukupnya sekitar enam ke lapan gelas sehari bergantung aktiviti dan kesihatan

. Dalam masa sama, elakkan pengambilan minuman bergula berlebihan atau terlalu banyak kafein.

Ketiga, kawal tekanan darah melalui gaya hidup sihat kerana darah tinggi boleh merosakkan buah pinggang.

Pantau juga paras gula kerana diabetes adalah punca utama kegagalan buah pinggang.

Keempat, yang tidak patut diremehkan ialah mengelakkan daripada mengambil ubat tahan sakit secara berterusan tanpa nasihat doktor.

Berhati-hati dengan makanan tambahan atau herba yang tidak diketahui kesannya kepada buah pinggang.

Selain itu, bersenam secara berkala sama ada berjalan, berbasikal atau berenang untuk mengekalkan berat badan sihat.

Elak merokok dan pengambilan alkohol berlebihan.

Terakhir, jangan takut menjalani pemeriksaan darah dan air kencing secara berkala, terutama jika ada sejarah keluarga yang menghidap penyakit buah pinggang, kencing manis atau darah tinggi.

Kata orang, pencegahan lebih baik daripada rawatan.

Menjaga buah pinggang dari awal bermakna melindungi kesihatan badan keseluruhan untuk jangka panjang

BERITA LAIN

BERITA TERBARU