SEJAK awal tahun hingga hari ini, cerita politik telah menidakkan kebimbangan rakyat akan masalah negara, terutama apabila Covid-19 mula menyerang negara.
Perebutan kuasa Perdana Menteri telah membayangi keresahan akan virus itu yang menjangkiti rakyat hanya dalam tempoh singkat. Cerita politik 2020 menjadi bualan wajib di media sosial.
Tidak kurang menjadikan cerita ini sebagai perbualan pokok di kedai kopi. Setelah menelaah berita yang entah benar atau tidak di Facebook, mereka mengulas di hadapan rakan sambil menghirup kopi panas.
Sama ada di bandar, luar bandar atau pedalaman, cerita ini menjadi antara topik utama.
Masing-masing ada pandangan sendiri, dan berfikir sebagai ahli politik yang mengulas hanya sekadar membaca tajuk berita.
Ceritanya bermula dengan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, kemudian Tan Sri Muhyiddin Yasin diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.
Tidak puas hati, Mahathir dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim masing-masing menegaskan mereka calon untuk Perdana Menteri kesembilan.
Pelbagai hujah diketengahkan.
Dan agak mengejutkan apabila nama Datuk Sri Shafie Apdal turut dikaitkan sebagai calon Perdana Menteri baharu.
Ketika Shafie belum memberikan komen penuh akan cadangan Dr Mahathir itu, tidak semena-mena Sabah dilanda ribut politik.
Gunung Kinabalu bergoncang apabila bekas Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mendakwa sudah mempunyai nombor mencukupi untuk membentuk Kerajaan Negeri baharu.
Berikutan ramai Adun Sabah beralih sokongan, Shafie pada 20 Julai memaklumkan Dun Sabah dibubarkan atas perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Tindakan yang boleh dianggap sebagai “biar sama-sama kempunan”.
Untuk itu, Pilihan Raya Negeri Sabah mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, tetapi belum ada tarikh muktamad.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan tarikh penting itu setelah bermesyuarat pada 17 Ogos.
Pada tarikh yang sama, akan diketahui sama ada keputusan Yang di-Pertua Sabah membubarkan Dun Sabah boleh diadili, iaitu dibicarakan di mahkamah.
Ketika suasana politik Sabah hangat, di Semenanjung, Umno kekal dengan Muafakat Nasional bersama-sama Pas dan tidak lagi menyertai Perikatan Nasional.
Sokongan kepada Perikatan Nasional hanya berteraskan sokongan ahli parlimen dan Adun untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Bersatu pula dikatakan memohon menyertai Muafakat Nasional.
Politik Semenanjung seterusnya kian panas apabila Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu, yang belum dinamakan.
Menunggu didaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan.
Di Sarawak pula, cerita Adun Padungan daripada Dap yang mengumumkan keluar parti juga menarik.
Dia kecewa dengan parti itu yang tidak menunaikan janji-janji kepada rakyat.
Tindakan itu diambil sebagai tanggungjawabnya terhadap rakyat.
Semua ini antara cerita-cerita politik yang memberikan bayangan akan ada pilihan raya dalam tempoh terdekat.
Cuma tarikh yang tepat belum diketahui.
Apa-apa pun setiap pengundi harus bersedia kerana kuasa akan dikembalikan kepada rakyat.



