ARTIKEL

Ceritera Qotten dan Caqol

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DI SEBUAH rumah kecil yang hangat di pinggir kota, tinggallah dua ekor kucing yang sangat intim. yang tidak mungkin terpisahkan.

Qotten dan Caqol. Setiap kali Namanya diujarkan, masing-masing akan melilau bagai kucing terhegeh-hegeh.

Qotten ialah kucing berbulu putih panjang yang lembut seperti rupa salji, selalu manja dan suka mengiau.

Caqol pula, kucing hitam berkilat dengan mata hijau tajam, lebih pendiam tapi setia.

Caqol sangat suka jika bulunya disikat dan tengkulnya diurut.

Dia akan menikmatinya sehingga pejam lalu tidur. Mereka berdua sudah seperti adik-beradik: tidur berdempetan, berpeluk, bertindih.

Apabila makan kedua-duanya tidak kisah berkongsi mangkuk makanan, dan sering berbual dalam bahasa kucing mereka sendiri.

“Meoww… Caqol, hari ni panas betul ye,” keluh Qotten sambil menguap di atas kusyen.

Tabiat Qotten memang begitulah.

Setelah makan kibbles kegemarannya, dia akan menjilat seluruh bulunya yang dapat dijangkau lidahnya.

Jika sudah terlalu banyak bulu tanggal yang tertelan, akan dimuntahkannya di tempat yang disukai tuannya.

Qotten memang menjaga adab itu.

Seingatnya sekali sahaja Caqol memberitahunya pada hari pertama mereka berkenalan.

”Jaga adab.

Rumah ini rumah kita bersama.

Rumah tuan.

Kencing berak di tempat yang disediakan.

Jangan ikut cara di luar sana.

Kita sama-sma kucing kutipan, tau.”

Amaran Caqol itu benar-benar melekat dalam ingatannya.

“Hmm, ya lah.

Aku suka duduk di sini saja, tengok burung, boleh kan?” tanya Qotten selamba.

”Tak ada salahnya, selagi kamu tidak kencing berak di situ.

Kamu tak memalukan spesis kita, bolehlah jawabnya,” jawab Caqol pendek, bersahaja tapi tetap mendekat untuk gosok badan.

Suatu hari, entah apa sebabnya, kedua-duanya gagal menemukan jawapannya.

Qotten mula gatal teruk dan mengalami bulu gugur.

Semakin ligat dia menjilat bulunya, semakin banyak yang tanggal. Jika tuan memasang kipas, bulu tanggalnya akan berterbangan.

Dia sendiri sangat risau dan berasa takut.

Tuan membawanya ke doktor haiwan, ”tiada pilihan lain, bulunya perlu dicukur ala singa,” kata doktor haiwan itu,” kulitnya perlu disabun dengan sabun khas setiap kali mandi dan selepas mandi perlu dilosyen dan dikeringkan dengan pengering,” tambahnya lagi.

Tuan bersetuju maka Qotten menjalani satu proses yang sangat aneh dalam hiodupnya.

Dia tidak bermaya untuk melakukan apa-apa. ”Sangat bagus kucing ini,” kata doktor haiwan itu.

Dia faham akan percakapannya. ”Bercerak pun tidak ketiga dicukur,” dan dia terus mencukur bulunya pendek.

Qotten dapat merasakan proses itu dan bulunya dibiarkan panjang di hujung ekor dan sekitar leher seperti surai singa.

Qotten pulang dengan penampilan baharu yang lucu tapi pelik.

Tuan Fiq ketawa sampai terburai tempias liur. Namun Qotten cuma dapat membisu dalam kecewa.

Apabila tiba di rumah, Qotten melompat masuk ke dalam rumah, mengeong gembira, dengan harapan Caqol menunggunya tanpa sabar.

“Caqol! Aku balik! Rindu tak?

Meh gosok hidung!” Caqol yang sedang tidur di sofa terjaga serta-merta.

Dia memandang Qotten dari atas ke bawah, bulu belakangnya naik berdiri.

Wajahnya menyinga secara tiba-tiba dan seluruh jasadnya dilanda gemuruh yang menggegarkan.

“Siapa… siapa kau ni, hah?” desis Caqol kuat dan garang, “kucing atau syaitan?” matanya menyepet curiga dan seluruh ototnya mengeras, siap siaga untuk menyerang.

Dia berdepan makhluk asing yang mengundang bahaya.

Sudah jelas di bayangannya satu pertarungan yang dahsyat akan berlaku, antara dia dengan makhluk asing berwarna putih tapi nampak kulit di seluruh badan itu.

“Eh, Caqol!” Qotten terkebilkebil, resah tidak menentu.

“Akulah bro, aku Qotten!” ”Mana, aku tak kenal kamu.

Setan barangkali. Berambus kamu.” Cagol menyerlahkan wajah serigala singanya yang paling menganca. “Jangan main-mainlah, Caqol.

Aku baru pulang ni.”

Qotten ketawa kecil, mendekat lagi setelah dikeluarkan dari sangkar angkutnya. “Jangan dekat!” seluruh bulunya meremang bagai singa menunggu peluang hendak menerkam.

“Kau bukan Qotten yang aku kenal!” Caqol tidak dapat menolehkan pandangnya walau seinci pun.

“Qotten teman aku berbulu putih gebu, tebal, cantik bukan… bukan singa botak macam engkau!”

Caqol mendengus marah, menampar udara dengan silat kucing paling lincah dapat dilakukannya, dengan kaki depan.

Terlonjaklonjak kaki belakangnya ke udara, sebagai tindakan lebih kepada mengelak serangan jin putih di hadapannya.

“Tapi aku betul-betul Qottenlah!

Bak sini, hidu aku.” dia mengacukan aksi hiduan.

”Bau aku sama ’kan? Sini kamu.”

Qotten masih mengajak mesra.

Caqol tetap mendengus garang.

”Dengar suara aku ni bro!”

Qotten cuba mendekat lagi, tapi Caqol melompat turun dan lari ke bawah meja.

Cuba hendak bersembunyi tetapi masih berasa tidak selamat.

“Pergi lah!

Jangan ganggu wilayah aku! Ini rumah tuan aku.”

Ngiau Caqqol makin kuat dan garang.

Sejak peristiwa itu, Caqol benar-benar dilambung badai amarah.

Setiap sesuatu yang dilakukan oleh Qotten untuk mendekat, akan diserangnya dengan ganas.

Dia akan mengiau ngiauan singa betina yang mengawasi anak-anak kecilnya.

Waktu makan yang dulu paling gembira bagi mereka berdua menjadi medan perang dan terkaman yang ganas.

Selagi Qotten tidak undur, dia akan menerkam dengan silat spesis kanin yang paling tangkas.

Ada ketikanya langkah silatnya canggung kerana belenggu amarah dan rasa takut ngeri.

Pada petang itu, tuan besar menghidangkan wet food kegemaran mereka.

Qotten mendekati mangkuk tuna itu, seraya menjemput mesra.

“Caqol, meh lah makan sama seperti dulu. Aku lapar ni….” Caqol hampir-hampir melangkah menyetujui ajakan makan makanan paling sedap itu.

Tiba-tiba dia tersedar. “Grrrrr! Miauuuu! Jangan sentuh mangkuk aku! Kau musuh aku sekarang!”

Caqol menggeram kuat.

Dia melompat gagah, lalu berdiri di hadapan mangkuk makanan mereka sambil bulu naik semua.

“Hei kamu, pendatang, dengar sini baik-baik, aku takkan biar kucing asing mencuri makanan aku!”

“Aku bukan kucing asinglah… Caqol, tolonglah percaya aku,” Qotten merengek sayu, duduk jauh sambil memandang Caqol makan sendirian.

Dia tahu, masih ingat, hidangan di mangkuk makanan yang satu itu ialah dia punya.

Caqol pun tahu makanan di dalam mangkuk yang di sebelah itu ialah Qotten yang punya.

Dia tidak akan menyentuh makanan itu. Itu memang hidangan untuk Qotten.

Dia setia pada Qotten.

Dan dia sayang padanya.

Dia kenal perasaannya sendiri.

Memang dia rindu akan Qotten, tapi menerima jin putih yang tiba-tiba menjelma di rumahnya, bukan sumpahannya.

Malam-malam, Qotten masih tekun mencuba mendekat untuk tidur bersama seperti biasa.

Mereka berdua akan mengerekot melingkar bersama-sama di atas lapik kaki di hadapan pintu bilik tidur bos besar.

Kedua-duanya faham, kalau bos besar kata jangan masih, tidak guna masuk. Akan diangkat ke luar juga.

Namun, naluri mereka berdua, ketika tidur, perlu meresap aura dari bos besar agar bos besar terlindung daripada semua jenis dan bentuk marabahaya.

Itu sahaja yang mampu dilakukan oleh mereka berdua sebagai usaha balas budi.

Bos besar menyelamatkan dia di tepi tong sampah yang hanyir.

Qotten juga dikutip dalam keadaan basah dan hanyir.

Setiap malam sambil melingkar tidur, kedua-duanya akan saling mengingatkan peristiwa kebaikan bos besar.

Bos besar juga sentiasa menyikat bulu mereka dari hujung telinga hingga ke hujung ekor.

Setiap kali pulang, sama ada pada waktu siang atau malam, itulah belaian bos besar yang paling mengasyikkan.

Dia enggan putus asa.

Dia berasa Caqol salah sangka sahaja.

“Caqol… sejuklah seekor-seekor begini.

Boleh berdempet tak? Takkan kau tak rindu aku.”

“Enggg! Jangan harap!

Pergi tidur di sana kamu, jauh-jauh!”

Caqol menjawab kasar, tapi suaranya sedikit goyah.

Hari berganti hari tabiat menjauh dan mendekat itu kian biasa.

Qotten semakin dihambat sunyi.

Terpinggir. Mujurlah tuan besar sangat prihatin.

Usap hangat dan manja tuan besar sahaja yang mengubat hatinya yang lara.

Malah sesekali dia sudah berasa putus asa.

Kalaulah hidup ditakdirkan tidak akan berkawan mesra dengan Caqol lagi, kalau itulah keadaan yang terbaik, dia merelakannya.

Masalah bulu yang tanggal bukan kehendaknya, bukan kesengajaan, dan juga bukan musibah yang terakibat daripada kesalahannya.

Dia masih ingat, malam tadi dia memang menangis dalam tidur hingga bersin terjaga.

Sehingga pagi dia gagal lelap lagi. Kelmarin dia meninjau-ninjau kawasan di luar rumah itu.

Di bawa sana memang luas tempatnya. Dia dapat berjalan ke mana-mana sahaja.

Dia membayangkan untuk melarikan diri sahaja tapi di rumah Tuan besar, memang tidak ada lubang lolos yang memungkinkannya lepas dan bebas.

“Caqol… aku rindu kita main kejar-kejar dulu. Ingat tak engkau,” kata Qotten perlahan suatu petang, sambil duduk di satu sudut.

Dia pun tidak begitu sedar, dorongan apa entah yang memanculkan ujaran itu.

Dia sedar, memang Caqol memandang dari jauh, tapi tak jawab.

Dalam hati dia resah. Caqol bagai disentap kesedaran naluriah yang di luar jangka.

“Kenapa bau dia macam sama saja? Jangan-jangan benar-benar Qotten?”

Lama bayangannya berjeda dalam fikiran yang bebas dan adil.

”Tapi…, penampilan tu lain sangat…, tak pernah dalam dunia kucing aku nampak bulunya gondol bagai singa jantan meredah hujan terbakar.”

Dua hari kemudian, selepas malam itu mereka tidak tidur bersama di hadapan bilik Tuan Besar.

Pada petang yang sama, hujan sangat lebat, dan Tuan Besar membawa pulang mainan baharu – bola getah berloceng yang berbunyi ‘ting-ting-ting’ ketika bergolek.

Qotten memang terlalu gemar main lompat-lompat dan setiap kali Tuan Besar pulang, dia memang teruja.

Kalau Tuan Besar sudah ada di rumah, Caqol tidak terlalu garang hendak menyerangnya.

Qotten gagal mengawal nalurinya, terus melompat mengejar.

“Wah! Bestnya! Ting-ting-ting!”

Lima enam kali dia terlompat-lompat gaya akrobatik kucing di tempat gelandangan yang pernah diharunginya dulu.

Pada mulanya, Caqol cuba buat-buat tak tahu, tetapi bunyi loceng tu terlalu menggoda nalurinya.

Tanpa sedar, dia pun melompat turun dan mengejar bola yang sama.

Tuan Besar tekun memerhatikan gelagat mereka berdua sambil senyum sendeng.

“Hehe, cepat Caqol! Bola ni masuk di bawah sofa!”

Qotten mengeong riang, lupa segalagalanya.

Caqol pun terlompat terlonjak, mengejar dan melambungkan.

“Aku tangkap dulu… eh!”

Tibatiba Caqol bersuara mesra.

Badan mereka bertembung.

Bola terhenti.

Mereka berdua terdiam, hidung hampir bersentuh.

Masing-masing menajamkan pandangan.

“Haipppp, jangan gaduh.

Tak mau main, duduk senyapsenyap.”

Mereka faham akan amaran Tuan Besar.

Caqol menghidu dalamdalam.

“Bau… bau susu manis tu.

Bau Qotten….” Dia berbisik pada diri.

Sekelumit rasanya bagai menerima makhluk macam kucing berkulit singa hangus di rimba itu ialah Gotten.

“Caqol?”

Qotten memanggil lembut.

“Kita sama-sama kejar bola jum, tengok sapa dapat dulu.” Caqol diam seketika.

Gotten juga terdiam dan kaku.

Masingmasing saling berpandangan.

Tiba-tiba dengan hidung yang kembang-kempis, Caqol tergerak untuk menjilat pipi Qotten perlahan-lahan.

“Qotten… betul ke ni kau?” suaranya antara kedengaran dengan tidak.

”Qottenlah tu Caqol,” getus suara Tuan Besar, masih setia memerhatikan gelagat mereka berdua.

“Yalah! Aku dah cakap dari dulu lagi! Dah lapan hari aku pulang.

Bulu aku sahajalah yang dicukur, aku tetap Qotten yang sama,” jawab Qotten, matanya berair gembira.

Dia mengatur duduk bagai kucing berserah kepada takdir hukuman.

Penuh kerelaan.

“Maaf… aku takut kau bukan kau yang ku kenal.

Aku rindu pada kau sebenarnya,” Caqol mengaku perlahan, suaranya lembut buat pertama kali selepas berhari-hari.

“Aku pun rindu Caqol yang garang tapi baik hati ni,” Qotten menggosok hidungnya pada hidung Caqol yang belang hitam kelabu.

Gosokan hidung itu menjanjikan tautan persahabatan yang intim sekali lagi.

Pada malam itu, mereka tidur berdempetan lagi.

“Esok kita main bola samasama lagi ya,” bisik Caqol sebelum lelap di luar bilik Tuan Besar. “Janji! Dan makan pun samasama.

Tak ada marah-marah lagi,” jawab Qotten sambil mendengkur puas.

Dia berasa sangat aman.

Bulu Qotten mula panjang semula perlahan-lahan, tapi persahabatan mereka sudah lebih kuat.

Tidak lagi bergantung pada rupa Qotten.

Mereka kembali menjadi dua kucing yang baik, berkongsi makanan, bermain riang dan berbual panjang setiap hari dalam bahasa mengeong mereka yang penuh kasih sayang.

Dan di rumah kecil itu, kedengaran lagi suara dua sahabat yang tak terpisahkan: “Meoww… Caqol!” “Hmm… Qotten!”

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

15 Individu Tamat Kursus Kejurulatihan

KUCHING: Seramai 15 individu berjaya menamatkan dan lulus Kursus Sijil Kejurulatihan Diploma ‘B’ AFC/FAM yang berlangsung di Kuching. Kursus berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu