ARTIKEL

Cerpen dihidupkan secara kreatif

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Saya ingin mengimbau pengalaman pada penghujung 2024, apabila Sayembara Bacaan Cerpen diadakan buat julung kalinya.

Program tersebut berlangsung di laman indah bersebelahan dengan kantin Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (IPGKBL) dan dihadiri oleh kakitangan serta guru pelatih.

Program ini merupakan kesinambungan Sambutan Bulan Bahasa anjuran IPGKBL dengan kerjasama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA). 

Program tersebut bertujuan memupuk minat dan penghayatan terhadap bahasa dan sastera Melayu dalam kalangan warga kampus.

Menariknya, menurut rakan-rakan, program tersebut merupakan sayembara bacaan cerpen yang pertama seumpamanya diadakan di Sarawak, malah mungkin juga di Malaysia.

Keunikan program ini terletak pada pendekatannya yang bukan sekadar berbentuk pertandingan, malah turut memberikan ruang kepada para peserta untuk menghayati dan menghidupkan cerpen melalui persembahan lisan secara kreatif.

Penulis menggunakan buku karya sendiri yang berjudul Sejambak Bunga Maya (SBM) sebagai bahan bacaan.

Langkah tersebut bertujuan memperkenalkan karya penulis tempatan, memeriahkan sambutan Bulan Bahasa dan memperluas pemasaran karya berkenaan kepada khalayak.

Penulis amat berterima kasih atas komitmen yang diberikan oleh ahli jawatankuasa dalam kalangan guru pelatih di bawah bimbingan pensyarah mereka, Dr. Hasnalee, serta seliaan Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Philip Michael.

Tidak dilupakan juga kerjasama erat daripada ahli jawatankuasa PEKASA yang memastikan program tersebut berjalan dengan lancar.

Majlis berlangsung dengan sempurna pada suatu petang yang indah, lengkap dengan sebuah pentas mini yang sederhana tetapi meriah.

Susun atur program, promosi dan pengendalian acara dilaksanakan dengan baik oleh ahli jawatankuasa yang terdiri daripada bakal guru yang berkaliber serta berdedikasi.

Penulis turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah IPGBL, Dr. Abang Ismail Abang Jolhi, atas sokongan dan dukungan yang diberikan.

Kehadiran serta sokongan beliau memberikan semangat kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Ungkapan seperti “bunga selasih bunga kantan, terima kasih seluas lautan” menjadi simbol penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Hasil daripada penganjuran sayembara ini, setiap peserta menerima sijil penyertaan daripada pihak IPGBL serta buku sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui PEKASA.

Selain itu, hadiah wang tunai turut diberikan kepada tiga pemenang terbaik sebagai tanda penghargaan atas pencapaian mereka dalam pertandingan tersebut.

Walaupun hadiah yang diberikan sederhana, nilai pengalaman yang diperoleh oleh para peserta jauh lebih bermakna dalam membina keyakinan diri dan meningkatkan kemahiran berkomunikasi.

Format sayembara ini amat mudah, tetapi berkesan. Penulis menyediakan 14 buku untuk 14 peserta sehari sebelum pertandingan bagi membolehkan mereka memahami isi cerpen serta menyediakan sinopsis ringkas tentang cerita yang dibaca.

Pada hari pertandingan, setiap peserta diberikan masa selama tujuh minit untuk mempersembahkan cerpen tersebut secara lisan.

Mereka dinilai berdasarkan kelancaran bercerita, keupayaan melakonkan watak, penggunaan intonasi serta gaya penyampaian yang sesuai dengan jalan cerita.

Sekiranya perlu, para peserta digalakkan untuk menghidupkan suasana cerita melalui pelbagai ekspresi seperti ketawa, menangis, marah atau melakukan gerakan dramatik sebelum loceng penamat dibunyikan.

Akhir kata, penulis amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, dalam menjayakan program berskala kecil ini yang mendapat sambutan luar biasa daripada warga kampus.

Pengalaman ini amat bermakna dan diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha untuk memperkasakan budaya ilmu, bahasa dan sastera dalam kalangan generasi muda.

Insya-Allah, kita akan bertemu lagi dalam sayembara bacaan cerpen yang akan datang.

BERITA LAIN

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke

BERITA TERBARU