CERTOT cabar penulis kreatif

MUNGKIN kerana tidak kerap menyertai kegiatan penulisan kreatif (lebih 10 tahun) secara langsung, penulis memikirkan dunia penulisan di Bumi Kenyalang kurang meriah.

Rupa-rupanya sangkaan meleset. Sebaliknya, kegiatan sedemikian sama ada dilaksanakan secara berpersatuan ataupun individu sememangnya tidak terputus.

Setelah membelek-belek laman Facebook persatuan penulis dan rakan-rakan penulis, ada-ada sahaja program yang mereka laksanakan.

Rata-rata bijak mencari ruang untuk berkarya puisi, cerpen, novel, teater dan sebagainya.

Ini termasuk ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Masing-masing berkarya melalui laman Facebook.

Ada yang membaca puisi secara langsung. Ada juga yang berbicara tentang sesuatu puisi, yang menerima pelbagai komen dan banyak lagi.

Dengan kata lain, selagi ada ruang, penulis kreatif akan tetap berkarya.

Melihat kepada ruang untuk berkarya, diperhatikan penulis tetap memerlukan ruang yang luas, lebih-lebih lagi penulis baharu.

Mereka mahukan karya mereka dibaca dan dinikmati oleh pembaca.
Antaranya ialah akhbar. Sejak dahulu lagi, akhbar memainkan peranan penting untuk menyiarkan karya kreatif, terutama puisi dan cerpen.

Jika disiarkan novel, ia adalah secara bersiri.Atas sebab itu, peringkat awal wujudnya Suara Sarawak, suku pertama tahun lepas, saya ada berjumpa dengan ramai rakan penulis untuk mengkhabarkan kewujudan akhbar ini.

Mereka gembira kerana wujud akhbar berbahasa Melayu yang menambahkan lagi seri dunia akhbar di Sarawak.

Ruang Berkarya

Dalam berbicara itu, satu soalan yang mereka lontarkan.

Ruangan sastera diwujudkan ataupun tidak? Alasan mereka adalah ruangan itu memberikan lebih banyak ruang kepada penulis untuk berkarya.

Ini kerana tidak banyak akhbar menyediakan ruang sedemikian.

Sekurang-kurangnya dengan adanya ruangan baharu, akan memberikan lebih banyak pilihan kepada penulis karya kreatif.

Akhirnya, dua halaman disediakan khusus untuk sastera dan budaya.

Disiarkan pada setiap Ahad, halaman 4 dan 5 di laman Portal disediakan khas untuk tujuan itu.

Halaman 4 diberikan nama sebagai Taman Karya. Setiap Ahad, tiga penulis terbaik oleh seorang penulis beserta dengan biodata dan gambar mereka akan disiarkan.

Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan. Karya penyair tersohor Sarawak Ja’afar Hamdan, Yusuf Mustanir, Shamsul Idzam dan Osman Zalika antara yang pernah tersiar di ruangan ini.

Tidak cukup dengan itu, karya penerima Anugerah Penulisan SEA Abizai Abi dari Miri juga antara nama besar yang karya besar mereka disiarkan di ruangan ini.

Begitu juga dengan Latifah Mohd Shebli yang disertakan dengan sedikit cerita awal terlibat dalam dunia penulisan puisi. “65 tahun yang lalu, saya membaca sajak yang ditulis oleh guru saya Cikgu Kaderi bertajuk ‘KAMI MERAYU’.

Sajak ini digunakan untuk memungut derma dari rumah ke rumah bagi membangun Sekolah Rendah Rakyat dan Sekolah Menengah Rakyat (Star).”

Setelah tersiarnya puisi Latifah, rupa-rupanya ramai yang rindu melihat karya beliau disiarkan di akhbar.

Seterusnya di halaman 5 pula, satu puisi masing-masing daripada tiga penulis turut disiarkan.

Ruangan ini dinamakan sebagai Sanggar Puisi iaitu untuk sajak, syair, pantun, gurindam dan seloka.

Selain karyawan Sarawak, ada juga karyawan dari Semenanjung Malaysia, Sabah turut berminat menyiarkan karya mereka di ruangan ini.

Namun demikian, Suara Sarawak tidak menyediakan ruang untuk penyiaran cerpen.

Sebaliknya digantikan dengan Cerita Kontot (Certot) atau Cerita Anekdot (Cerdot) – sketsa kreatif mengandungi 200 hingga 500 patah perkataan.

Sambutan juga menggalakkan. Setiap minggu akan ada karya diterima dan disiarkan, walaupun di peringkat awal ada yang mengatakan ia tidak begitu sesuai.

Namun, ia merupakan cabaran kepada cerpenis dan novelis. Mereka perlu memastikan cerita menarik dimasukkan ke dalam sketsa yang tidak pernah mereka hasilkan sebelum ini.

Alhamdulillah, rata-rata penulis senior dan baharu berjaya dan menjadikan Certot ataupun cerdot sebagai antara genre baharu mereka.

Untuk perancangan masa depan, alangkah baik jika ada pihak yang dapat menaja untuk me-nganjurkan sayembara penulisan certot.

Setiap karya yang tersiar dapat dinilai, dan diberikan hadiah penghargaan.

Mungkin persatuan penulisan juga dapat memainkan peranan dan bekerjasama bagi merealisasikan rancangan ini. Ruang sudah tersedia.

Suara Sarawak