Drama Korea Bon Appétit, Your Majesty yang dibintangi Lim Yoona dan Lee Chae Min mencatat kejayaan besar ketika ditayangkan serta menduduki tangga teratas carta tontonan di pelbagai platform, terutama Netflix.
Kejayaan drama tersebut turut mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat tempatan dan antarabangsa selepas berita mengenai siri sampingan drama berkenaan mula tersebar.
Walaupun siri ini berkait dengan drama terdahulu, ia bakal tampil dengan tajuk dan jalan cerita baharu.

Selain itu, perbincangan mengenai jadual penayangan penuh siri ini di tvN juga masih dijalankan.
Menurut laporan media antarabangsa, Cha Eun Woo menerima tawaran untuk berlakon dalam siri sampingan drama berkenaan, sekali gus menggantikan Lee Chae Min sebagai watak utama lelaki.
Sementara itu, Cha Eun Woo kini sedang menjalani khidmat ketenteraan wajib di Korea Selatan dan dilaporkan bakal menamatkan perkhidmatannya dalam tempoh lima bulan sebelum kembali ke kaca televisyen menerusi siri ini.
Pada awal tahun ini, Cha Eun Woo turut terlibat dalam kontroversi berhubung dakwaan pengelakan cukai yang menjejaskan imejnya sebagai salah seorang selebriti papan atas di Korea Selatan.
Namun, situasi tersebut dilaporkan diselesaikan selepas beliau membayar sekitar 13 bilion won (RM37.47 juta)kepada Perkhidmatan Cukai Negara pada April lalu.
Antara karya yang pernah dibintanginya ialah True Beauty, The Wonderfools dan My ID Is Gangnam Beauty. Beliau juga dikenali sebagai seorang daripada anggota kumpulan ASTRO.
Perkembangan siri ini turut membuka ruang kepada jalan cerita baharu yang mempunyai kaitan dengan drama terdahulu, sekali gus meningkatkan keterujaan peminat drama berkenaan dan peminat Cha Eun Woo untuk menantikan projek terbaharu itu.



