ARTIKEL

Beregu lelaki negara Chia Wei Jie-Teo Ee Yi

Chia-Teo cipta kejutan tumbangkan pilihan kelapan Indonesia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BANGKOK: Dua gandingan baharu beregu lelaki negara memulakan kempen dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Thailand 2026 di Stadium Nimibutr, di sini.

Mohd Haikal Nazri-Bryan Jeremy Goonting menewaskan pasangan nombor 62 dunia dari Hong Kong, Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai, 22-20, 21-13.

Sementara itu, pasangan profesional Chia Wei Jie-Teo Ee Yi mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan kelapan dari Indonesia, Mohammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat, 20-22, 21-19, 21-11.

Haikal-Bryan bakal berdepan pilihan utama yang juga nombor empat dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India yang sebelum itu menewaskan pasangan Indonesia, Muh Putra Erwiansyah-Bagas Maulana, 21-19, 21-23, 21-10.

Teo, pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021, berkata kemenangan itu merupakan langkah pertama yang sangat penting buat gandingan baharu mereka bagi meningkatkan keyakinan menjelang perlawanan seterusnya.

“Sebagai pasangan baharu di gelanggang, kami gembira dengan kemenangan hari ini tetapi masih banyak yang perlu dipelajari, terutama dari segi pergerakan dan persefahaman,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan semalam.

Chia pula berkata, walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki, keputusan bergandingan dengan Teo tidak memberikan tekanan kepadanya, malah menjadi pendorong untuk terus meningkatkan prestasi.

“Saya tidak tahu sejauh mana kami boleh pergi tetapi kami akan bekerja keras dan berusaha melangkah sejauh mungkin demi mencapai kejayaan,” katanya.

Chia-Teo akan bertemu sama ada pasangan Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley atau pasangan Vietnam, Nguyen Dinh Hoang-Tran Dinh Manh yang akan beraksi hari ini.

Selain itu, satu lagi beregu lelaki negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut mara ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan Scotland, Alexander Dunn-Adam Pringle, 21-11, 21-15.

Pada pusingan kedua hari ini, Mohd Azriyn-Tan akan menentang gandingan tuan rumah, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul yang sebelum itu menewaskan Julien Maio-William Villeger dari Perancis, 22-20, 21-16.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi satu lagi beregu profesional, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong yang tewas 9-21, 14-21 kepada pasangan nombor 33 dunia dari China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi.

Terdahulu, perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia melepasi saingan pusingan kelayakan selepas menewaskan Liao Jhuo-Fu dari Taiwan 21-16, 21-13.

Zii Jia akan menentang pemain Israel, Daniil Dubovenko esok bagi merebut tempat ke pusingan kedua.

Namun, dua pasangan beregu wanita Malaysia, Ong Xin Yee-Carmen Ting dan Chong Jie Yu-Vanessa Ng tersingkir seawal aksi pembukaan.

Ong-Carmen, pasangan nombor 20 dunia, tewas kepada gandingan Indonesia, Isyana Syahira Meida-Rinjani Kwinara Nastine, 21-16, 14-21, 14-21 dalam aksi yang berlarutan lebih sejam, manakala Chong-Vanessa kalah 16-21, 17-21 kepada beregu Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita. – BERNAMA

BERITA LAIN

Kuching City buru kemenangan kelima di Brunei

KUCHING: Kuching City FC memburu kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan Liga Super 2026-2027 apabila bertandang ke Brunei menentang DPMM FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah,

BERITA TERBARU

Isu warga emas bukan masalah keluarga semata-mata

KUCHING: Sudah dibenarkan keluar hospital, namun masih tidak dapat pulang ke rumah kerana tiada ahli keluarga tampil mengambil atau menguruskan kepulangan mereka. Itulah antara situasi