KUCHING: Prospek pelaburan baharu China dalam tenaga hijau, perkilangan berteknologi tinggi dan projek infrastruktur menjadi fokus utama kunjungan hormat Duta Besar Republik Rakyat China, Ouyang Yujing terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Datuk Patinggi Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di kediaman rasmi mereka pagi tadi.
Delegasi China turut dianggotai Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching H.E. Xing Weiping; Menteri-Kaunselor Kedutaan China di Malaysia Ma Cuihong dan Lin Shiguang; Kaunselor Zhao Chantao; serta Setiausaha Kedua Zeng Haoyao dan Yan Zihao.

Astana Negeri Sarawak berkata, pertemuan itu membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk meneliti peluang baharu kerjasama strategik khususnya dalam sektor pelaburan dan pembangunan teknologi.
“Dalam perbincangan tersebut, China menyatakan minat tinggi terhadap peluang pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui Sarawak.
“Ini termasuk hidrogen, hidroelektrik serta teknologi penangkapan penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) seiring aspirasi negeri menjadi hab tenaga lestari,” katanya dalam hantaran rasmi di Facebook, hari ini.
Tambahnya, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi memperluas hubungan perdagangan dengan menarik lebih banyak syarikat China ke Sarawak.
“Ini khususnya dalam sektor petrokimia, perkilangan berteknologi tinggi dan industri makanan moden yang semakin berkembang.
“Selain itu, kepakaran China dalam pembinaan infrastruktur berskala besar turut dikenal pasti sebagai peluang kerjasama, terutama bagi projek jalan raya jambatan dan pelabuhan bagi menyokong pembangunan negeri.”
Kerjasama dalam bidang teknologi dan pendidikan turut disentuh termasuk usaha memperkukuh penyelidikan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dalam sains, teknologi kejuruteraan, dan matematik (STEM) antara universiti di Sarawak dan institusi pendidikan di China.
Menjelas lanjut, kunjungan tersebut mencerminkan hubungan diplomatik yang semakin erat dengan China terus melihat Sarawak sebagai pintu masuk strategik ke rantau Borneo.
“Justeru, Ouyang turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah untuk mengadakan lawatan ke Republik Rakyat China.
“Tun Wan Junaidi juga menzahirkan harapan agar jalinan persahabatan dan kerjasama Sarawak–China terus diperkukuh demi manfaat bersama pada masa hadapan.”
Turut hadir, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia. Datuk Fenny Nuli.



