SEORANG bapa dihukum penjara 30 tahun dan dikenakan 13 sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas dua tuduhan merogol dan mencabul anak kandung berusia 10 tahun, tiga tahun lalu.
Hakim dalam keputusannya memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak, bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 12 September 2022 manakala hukuman sebatan dilaksanakan sepenuhnya.
Ini sebahagian kes mahkamah yang kita baca hampir setiap hari.
Bapa melampiaskan berahi dengan darah daging sendiri.
Di dalam rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk seorang anak, dipagari dinding selamat, namun orang tuanya pula menjahanamkan anak ke lubang neraka.
Anak, kita khianati. Kita hancurkan kepercayaan seorang anak kecil yang sepatutnya kita menjadi pelindung teragung — bapanya sendiri.
Kes bapa merogol anak kandung bukan lagi kes terpencil. Ia berlaku dalam komuniti kita, kadang-kadang di dalam rumah di sebelah, dalam sunyi yang tidak dihiraukan.
Statistik boleh kita baca, pesalah boleh dihadapkan ke mahkamah, dan hukuman boleh dijatuhkan.
Namun siapa yang mampu mengukur luka jiwa anak yang akan dikenangnya sepanjang hidupnya?
Lebih memilukan, ramai mangsa tidak bersuara.
Mereka tidak bisu kerana rela, tetapi kerana tidak tahu kepada siapa mereka boleh mengadu.
Sesetengah diugut untuk berdiam, sesetengah dipersalahkan apabila bersuara, dan lebih menyayat hati, ada yang dikhianati ibu sendiri — yang memilih untuk menutup aib keluarga daripada menyelamatkan anak darah dagingnya.
Sikap masyarakat yang membisu adalah sebahagian daripada tragedi ini.
Kita terlalu mudah memandang kes seperti ini sebagai masalah peribadi.
Dan selama kita terus membisu, terus menyalahkan mangsa, dan terus memuliakan perogol demi nama keluarga — maka kita semua bersubahat dalam jenayah ini.
Soalnya kini, bila kita mahu berhenti? Bagaimana seorang bapa bernafsu melihat anak perempuannya?
Saya tidak dapat bayangkan mereka memeluk anak dengan nafsu.
Sepatutnya itu pelukan kasih tanpa nafsu, sayang tanpa berahi kecuali dia seorang bapa yang sedang sakit jiwa.
Sangat kejam! Dalam dunia masa ini, jika sudah tidak dapat menahan nafsu — boleh melanggan manamana perempuan — bunyinya kasar dan tidak beradab — sekurang-kurangnya itu dosanya dengan Tuhan.
Bercerita hal ini, saya segera teringat kisah seorang lelaki, juga ayah dan suami orang yang merelakan isterinya terlibat dalam perniagaan tidak bermoral — dibandingkan dengan seorang bapa yang merogol anaknya sendiri.
Ia tidak berkaitan tetapi daripada soal empati, kesan dan trauma anak mungkin lebih dalam berbanding soal hati suami ini tadi. Saya hendak berkongsi pertemuan saya dengan seorang lelaki, bertahun-tahun dahulu — mungkin sekitar 11 tahun lalu.
Dia seorang suami, ayah dan bekerja mengutip besi.
Saya bertemunya secara tidak sengaja kerana sering menunggu isterinya bekerja malam tidak jauh dari pejabat kami.
Daripada berbual santai-santai, bulan demi bulan berlalu — terjumpa di kedai kopi sekitar pejabat, kami saling menyapa.
Ketika itu, jam 7.30 malam. Biasanya kami membeli makan dan minuman di kedai kopi berdekatan. Biasanya jika tidak makan, kami beli dan bawa pulang pejabat
. Dia pun berkawan dengan beberapa kawan pejabat, jadi sesekali apabila bertemu di kedai kopi, kami mempelawanya duduk bersama.
Ada suatu hari, dia tidak kelihatan untuk beberapa bulan dalam empat ke lima bulan.
Biasa jika kita kenal orang sebelah pejabat, kalau tidak terserempak dua tiga kali, kita akan tertanyatanya ke mana dia menghilang.
Saya pun sekadar mengingati susuknya dan masa berlalu begitu sahaja.
Pada suatu hari, saya dan sahabat pergi kedai yang sama.
Dia menyapa sebaik sahaja saya masuk. Saya pun bertanya, “Lama tidak nampak, pergi mana?”
Dia menjawab isterinya baru sebulan melahirkan anak.
Saya ucapkan tahniah.
Dia ketawa. Saya tanya, “Tunggu isteri?” Dia angguk.
Ketika menunggu makanan, saya sempat bertanya, “Isteri kerja mana?”
Dia menghalakan jari telunjuk ke atas bangunan di seberang kami duduk. Saya memandang tepat, kemudian melihat jari ke bangunan usang.
Saya faham, dan hanya manusia di persekitarannya juga yang faham.
Maksudnya kami tahu dan dia tahu.
Saya memberanikan diri untuk bertanya, “Sudah lama?” Dia angguk dan menceritakan dengan senyum.
Maksudnya, isterinya membantu dia mencari nafkah, dengan jalan lain yang suaminya restu.
Kisah ini sering saya kongsikan dengan kawan-kawan, jika ada kes bapa, datuk, abang merogol anak, adik.
Jika sudah terlalu tidak dapat menahan nafsu, makanya bayar mereka yang sudi berkongsi nafsu.
Saya bukan memberi sokongan kepada perempuan yang menjual diri walaupun dua tiga orang yang menjual diri kerana desakan hidup. Kita pun tidak boleh menghukum.
Sama seperti suami ini tadi.
Saya atau sesiapa tidak berhak menjatuh hukum.
Mungkin itu jalan paling selamat yang bukan jenayah walaupun salah dari segi sivik dan norma, namun itu cara mendapatkan wang tunai segera.
Selagi orang disayanginya merestu, siapa kita untuk menjatuhkan hukum haram dan halal
. Dua isu ini saling berkaitan. Seorang bapa yang melampias nafsu dengan darah daging.
Satu lagi seorang suami yang merelakan isteri terlibat dalam industri tidak bermoral.
Jadi, semuanya datang daripada akal yang sihat, waras dan empati. Seorang ayah sepatutnya menjadi simbol kasih tidak bersyarat, tempat anak berlindung daripada bahaya, bukan menjadi bahaya itu sendiri.
Hubungan antara ayah dengan anak dibina atas dasar tanggungjawab, kepercayaan dan cinta tulen, bukan keinginan yang songsang. Kasih ayah tidak seharusnya dicemari keinginan kerana nafsu sebegitu tidak punya ruang dalam hubungan kekeluargaan.
Malah tiada ruang simpati untuk ayah yang mengkhianati darah daging sendiri kerana sayang kepada anak lahir daripada hati yang bersih, bukan daripada keinginan yang rosak.






