ARTIKEL

Cita-cita mahu jadi Premier Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TIDAK salah berjiwa besar.

Tidak salah bercita-cita tinggi.

Malah, dalam politik, cita-cita untuk menduduki kerusi tertinggi adalah sebahagian daripada lumrah perjuangan.

Angan-angan pula percuma.

Sesiapa sahaja boleh memasang impian untuk menjadi Premier Sarawak.

Namun, antara memasang impian dengan memiliki keupayaan untuk merealisasikannya, terdapat jurang yang cukup luas

. Apatah lagi jika cita-cita itu mahu dicapai dalam tempoh singkat, seolaholah jawatan Premier boleh diperoleh hanya dengan beberapa poster, kempen media sosial dan retorik politik.

Hakikatnya, menjadi Premier bukan sekadar memenangi pilihan raya atau mendapat sokongan parti.

Ia menuntut kebijaksanaan, kematangan, pengalaman, keberanian membuat keputusan.

Dan, paling penting kemampuan mengemudi sebuah wilayah yang semakin kompleks dari segi ekonomi, politik serta hubungan Persekutuan–Negeri.

Sesiapa yang bercita-cita mewarisi jawatan Premier perlu terlebih dahulu bertanya kepada diri sendiri: Mampukah saya mengisi “kasut besar” yang pernah dipakai oleh Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Pehin Sri Adenan Satem dan kini Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg? Ketiga-tiga pemimpin ini tidak muncul secara tiba-tiba.

Mereka melalui proses panjang dalam politik dan pentadbiran, diasuh oleh pengalaman, diuji oleh krisis serta diperkukuh melalui pelbagai tanggungjawab sebelum sampai ke puncak kuasa.

Mereka bukan pemimpin politik segera. Bukan produk yang boleh disiapkan dalam masa beberapa bulan sebelum dipasarkan kepada rakyat.

Abdul Taib membina asas transformasi ekonomi dan perindustrian Sarawak.

Adenan memperkukuh semangat kenegerian serta memperjuangkan hak Sarawak dengan pendekatan tersendiri.

Abang Johari pula membawa wilayah ini memasuki dimensi baharu melalui ekonomi digital, tenaga hijau, teknologi dan pengukuhan keupayaan fiskal.

Justeru, persoalannya bukan sekadar siapa mahu menjadi Premier, tetapi siapa benarbenar mempunyai kemampuan meneruskan perjalanan besar ini?

Memiliki ijazah doktor falsafah bukan jaminan seseorang mampu menjadi pemimpin politik yang berjaya.

Begitu juga pengalaman berpolitik selama bertahun-tahun tidak semestinya melahirkan seorang pentadbir berwibawa.

Kedua-duanya perlu digabungkan dengan kecerdasan membuat keputusan, kemahiran berunding, kefahaman ekonomi dan keupayaan membaca perubahan dunia.

Premier Sarawak perlu berlaku adil kepada semua kaum dan agama.

Beliau juga mesti mampu membina hubungan berpengaruh dengan kepimpinan nasional, mempertahankan kepentingan Sarawak dalam rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta mengurus hubungan dengan pelabur antarabangsa.

Belum lagi soal menarik pelaburan berbilion ringgit, membangunkan infrastruktur, mengurus sumber asli dan menyediakan pekerjaan berkualiti untuk generasi akan datang.

Semua ini tidak boleh diselesaikan dengan slogan politik yang sedap didengar. Sebab itulah nasihat Abang Johari di Miri baru-baru ini cukup menarik untuk direnungkan, khususnya oleh mereka yang menyimpan cita-cita menduduki kerusi Premier.

“Siapa nak jadi Premier you, cari duit you.

Mesti pandei cari duit. Sapa mok jadi Premier, mesti ada otak kedak ne nak membangunkan… cari dana bangunkan rakyat,” katanya. Ungkapan itu mungkin kedengaran santai, tetapi membawa mesej politik dan ekonomi yang sangat serius.

Menjadi Premier bukan sekadar tahu membelanjakan wang kerajaan.

Seorang Premier mesti mengetahui bagaimana hendak menjana pendapatan, memperluas sumber hasil dan memastikan kekayaan negeri dapat diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.

Abang Johari telah memperlihatkan pendekatan tersebut sepanjang hampir sedekad menerajui Sarawak.

Melalui pengukuhan kutipan Cukai Jualan Negeri, pengurusan kewangan dan pelbagai strategi ekonomi, unjuran pendapatan Sarawak bagi 2027 kini mencecah RM15.091 bilion.

Angka ini bukan sekadar statistik untuk dibanggakan. Ia mencerminkan kemampuan kerajaan menyediakan pembiayaan pembangunan, meningkatkan kemudahan awam dan melaksanakan dasar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Namun, pendapatan besar juga membawa tanggungjawab besar. Wang yang dikumpulkan mesti diurus dengan berdisiplin, telus dan menghasilkan pulangan yang nyata. Abang Johari dikenali sebagai pemimpin yang gemar membaca, mengkaji dan mempelajari perkembangan teknologi serta model pembangunan ekonomi dari pelbagai negara.

Penubuhan Bank Pembangunan Sarawak, pembangunan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART), pengambilalihan MASwings untuk membangunkan AirBorneo, pemerolehan pegangan strategik dalam Affin Bank serta pengambilalihan Pelabuhan Bintulu merupakan sebahagian daripada langkah memperkukuh kedudukan ekonomi Sarawak.

Begitu juga penerokaan ekonomi digital, hidrogen, tenaga boleh diperbaharui dan industri kecerdasan buatan. Terbaharu, kerjasama SoftBank,

Grab dan PETROS dengan cadangan modal permulaan AS$1 bilion bagi pembangunan infrastruktur AI menunjukkan bagaimana Sarawak berusaha memasuki rantaian ekonomi teknologi global. Semua ini memerlukan pengetahuan, keberanian mengambil risiko yang diperhitungkan dan keupayaan melihat peluang sebelum orang lain menyedarinya.

Tidak hairanlah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggambarkan Sarawak sebagai sebuah gergasi ekonomi baharu.

Politik memang membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk bercita-cita menjadi pemimpin. Namun, kepimpinan tidak sepatutnya dianggap sebagai jalan pintas menuju kuasa. Sebaik-baiknya, seseorang yang mahu menjadi Premier pernah melalui pelbagai lapisan pentadbiran, sama ada sebagai Timbalan Menteri, Menteri atau Timbalan Premier.

Pengalaman tersebut bukan syarat mutlak, tetapi medan penting untuk memahami proses membuat keputusan, pengurusan kewangan, hubungan antara agensi dan cabaran melaksanakan dasar.

Lebih penting, bakal pemimpin mesti memiliki kewibawaan untuk mendapatkan kepercayaan rakyat pelbagai latar belakang, bukan sekadar sokongan kelompok sendiri. Juga tidak rasis dan mudah melatah. Sarawak terlalu besar untuk dipimpin melalui percubaan dan kesilapan.

Masa depannya terlalu penting untuk dipertaruhkan kepada populariti sementara. Sesiapa sahaja boleh menghantar isyarat dan mengisytiharkan hasrat menjadi Premier.

Tetapi rakyat berhak bertanya: apakah pengalaman anda, apakah dasar ekonomi anda, dari mana sumber kewangan pembangunan akan diperoleh dan ke manakah Sarawak mahu dibawa?

Kerana jawatan Premier bukan hadiah kepada mereka yang paling lantang menyatakan citacita.

Sebaliknya untuk mereka yang telah diasuh, dibimbing dan dipersiapkan dengan pengalaman bagi menghadapi cabaran yang tidak terjangka.

Dan dalam politik Sarawak, persoalan paling penting bukanlah siapa paling cepat mahu menjadi Premier?

Tetapi siapa benar-benar layak dan mampu memastikan Sarawak terus maju selepas era Abang Johari.

BERITA LAIN

Momen yang dirindui

SETIAP kali tiba musim pilihan raya, saya selalu teringat pengalaman membuat liputan kira-kira 25 tahun lalu. Ketika itu, saya masih muda dan ditugaskan membuat liputan

Lawan di Sarawak

DI Putrajaya, GPS dan PKR boleh duduk semeja membincangkan urusan negara. Di Sarawak, kedua-duanya boleh berdiri di pentas ceramah yang berlainan dan meminta undi daripada

BERITA TERBARU

Kerusi pilihan Abang Johari masih jadi tanda tanya

KUCHING: Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak memberikan jawapan khusus berhubung spekulasi kemungkinan beliau