Covid-19 lebih penting daripada politik

KETIKA menyampaikan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat pada Isnin, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berjaya menarik perhatian seluruh negara. Titah baginda penuh berhemah, telus dan menyentuh semua isu dalam negara yang menjadi kebimbangan bukan sahaja baginda, malah rakyat.

Banyak perkara diutarakan baginda, terutama berkait tempoh negara berdepan pandemik Covid-19. Paling menarik, gesaan baginda kepada ahli Parlimen agar jangan membawa negara ke kancah politik yang huru-hara.

Ia susulan krisis politik di negara ini pada Februari lalu yang memerlukan baginda bertindak bijak dan telus dalam memilih Perdana Menteri yang baharu setelah Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Tempoh dua minggu yang cukup mengujakan dan membimbangkan rakyat, lebih-lebih lagi orang politik. Selepas itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan, sebelum negara kemudiannya diuji gelombang penularan Covid-19.

Segala usaha telah dikerah untuk memerangi wabak itu, dan kerajaan mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk membantu rakyat. Ada juga yang menimbulkan pelbagai isu, tidak terkecuali di Sarawak. Bantuan makanan dijadikan modal politik.

Pelbagai hujah diketengahkan melalui media massa sebelum dijawab secara berhemah oleh kerajaan. Kerajaan sebenarnya telah bertindak bijak untuk memastikan isu ini tidak mengganggu proses memerangi Covid-19 serta menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Ia dijawab dengan mengetengahkan bukti-bukti kukuh bagi memudahkan rakyat memahami isu tersebut. Dan, setelah beberapa hari Sarawak merekodkan sifar kes positif Covid-19, tidak semena-mena timbul isu Laluan Utama Kedua yang dikatakan sebagai membazir, tidak perlu dan harus dihentikan.

Sekali lagi, dijawab secara berhemah. Lebih bijak, apabila pemimpin politik di kawasan yang dibina laluan itu menjawab sendiri isu ini. Ini termasuk pandangan rakyat di kawasan terlibat yang melihat 1,001 faedah yang akan diterima dengan adanya laluan tersebut.

Selain memendekkan perjalanan ke banyak destinasi, rakyat yakin seratus peratus pembinaan laluan itu akan memudahkan mereka memasarkan hasil pertanian.

Pertama, dapat menjual hasil tani dan laut di bahu laluan tersebut. Kedua, memudahkan pergerakan memasarkan hasil tani ke daerah ataupun bandar lain. Jika difikirkan, dalam tempoh berperang dengan wabak halimunan ini, semua pihak terutamanya orang politik harus lebih membantu menangani masalah ini, bukan sebaliknya.

Ini bukan masa untuk berbicara hal politik. Akan ada masa yang lebih sesuai bercakap sebanyak mungkin tentang politik. Kini merupakan masa untuk berpadu tenaga, berkongsi jiwa dan rasa membantu petugas barisan hadapan menghadapi wabak ini.

Walaupun sudah beberapa hari mencatat sifar kes positif, virus ini dibimbangi masih berada di mana-mana. Tidak diketahui siapa pembawa virus ini. Mungkin orang di depan, belakang ataupun sebelah ataupun sesiapa sahaja.

Ketika ini, kenyataan yang harus dikeluarkan oleh orang politik adalah dalam bentuk nasihat agar masyarakat patuh dengan arahan penjarakan sosial, menggunakan sanitasi tangan serta patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Jangan biarkan hanya satu pihak berperang dengan virus ini, sementara pihak lain pula cuba membangkitkan isu lain yang sebenarnya boleh diketepikan sementara.