COVID-19: Satu kematian, 139 positif hari ini

KUCHING: Seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun dari Sibu menjadi mangsa kematian Covid-19 di Sarawak, hari ini sekali gus menjadikan jumlah kematian di negeri ini meningkat kepada 84 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mangsa merupakan kes positif ke-8,360 telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu kerana mengalami sesak nafas dan ujian saringan bagi rT-PCR Covid-19 adalah positif pada 23 Februari lalu.

“Kes mengalami gejala seperti kehilangan deria bau, kurang selera makan dan batuk beberapa hari sebelum mendapatkan rawatan di hospital.

“Keadaan kesihatan kes merosot sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 Mac lalu dan kes mempunyai ko-morbid penyakit buah pinggang kronik, darah tinggi, kencing manis dan gout,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai kes positif Covid-19, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri memberitahu sebanyak 139 kes baharu positif dikesan di Sarawak hari ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 39 kes di daerah Sibu, Kuching (29), Bintulu (17), Betong (13), Kapit (6), Bau (6), Meradong (5), Miri (5), Selangau (5), Pusa (4), Serian (4), Sebauh (2) dan satu masing-masing di Julau, Sarikei, Asajaya dan Song.

“Ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 10,063 kes,” jelasnya.

Suara Sarawak