MELAKA: Polis menahan seorang lelaki dan wanita tempatan selepas dipercayai cuba menyeludup tembakau ke Penjara Sungai Udang menggunakan dron dalam serbuan di Taman Kris Satria, Sungai Udang, Rabu lepas.
Menurut Bernama, serbuan membawa kepada rampasan peralatan dron, bahan disyaki untuk diseludup, peranti komunikasi serta beberapa barangan lain yang dipercayai berkaitan kegiatan itu.
Siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku menerbangkan dron bagi meninjau lokasi pendaratan sebelum menyeludup tembakau kepada seorang banduan. Polis turut mengesyaki kegiatan itu dilakukan dengan bantuan seorang banduan yang kini sedang dikesan.
Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah. Suspek lelaki mempunyai 12 rekod jenayah dan tiga rekod kesalahan dadah, manakala suspek wanita tiada rekod jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 58 Akta Penjara 1995. Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan.



