PESTA Benak Sri Aman 2023 berjaya menggamit sekitar 50,000 pengunjung tempatan dan luar.
Diperkenal sejak 2001, ia menjadikan Sri Aman atau Simanggang mendapat jolokan Bandar Benak Malaysia.
Tahun ini penganjuran pesta itu memasuki edisi ke-20 walaupun sepatutnya yang ke-23.
Tetapi ekoran pandemik COVID-19, kali terakhir (edisi ke19) ia diadakan adalah Oktober 2019.
Tidak mustahil sasaran kehadiran pengunjung sehingga 50,000 orang dapat dicapai dengan mudah.
Ini ditambah dengan sistem perhubungan jalan raya yang semakin baik. Justeru, Jawatankuasa Induk Penganjuran Pesta Benak Sri Aman 2023 menyusun atur pelbagai aktiviti untuk disajikan kepada pengunjung.
Tarikan utama sudah pasti benak itu sendiri dan acara sukan air iaitu lumba perahu.
Benak dalam konteks masyarakat tempatan adalah kejadian air pasang besar yang berlaku dengan alunan berombak.
Ia terhasil daripada keadaan muara sungai yang luas dan dasar sungai yang cetek, yang seterusnya menyebabkan permukaan air membentuk struktur ombak yang beralun menuju ke hulu sugai.
Menariknya, kejadian benak yang berlaku di Batang Lupar merupakan salah satu daripada 60 kejadian (lokasi) benak di seluruh dunia.
Benak Batang Lupar bermula di kawasan Pulau Seduku iaitu bahagian hulu Daerah Lingga kira-kira 44.6 kilometer dari muara dan 34.5 kilometer dari Bandar Simanggang.
Ia mengalun pada kelajuan tujuh hingga 18 kilometer sejam dan berlaku pada setiap bulan mengikut air pasang besar melintasi tebingan bandar Simanggang yang menjadi venue utama Pesta Benak.
Sebanyak 18 acara utama berlangsung sepanjang pesta hingga hari ini (Ahad).
Antara acara utama temasya tersebut ialah regata lumba perahu. Pada Pesta Benak Sri Aman edisi ke-18 pada 2019, jentera Cahaya Putri Ruai 8 dinobatkan sebagai Raja Benak Batang Lupar atau Raja Sungai selepas menjuarai kayuhan akhir Sakai 30.
Untuk rekod, Cahaya Putri Ruai merampas gelaran Raja Benak Batang Lupar daripada pasukan Mahkota Dewa Gedong (2018), Bujang Simanggang (2017), Landas (2016) dan Sinaran Ratu Siska (2015).
Tahun lepas pula diungguli pasukan dari Saratok iaitu Cahaya Helang Tasik.
Difahamkan tahun ini hadiah bagi Raja Sungai lebih lumayan iaitu RM12,000.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis yang juga penasihat pesta menyatakan objektif utama untuk menonjolkan Benak Batang
Lupar sebagai produk pelancongan yang unik bagi Sarawak dan Malaysia.
“Hasrat kita untuk menganjakkan kedudukan pesta ini dalam senarai 10 acara terbaik di Sarawak.
Seterusnya, mempopularkan Bandar Simanggang sebagai Bandar Benak Malaysia dalam menyumbang kepada industri pelancongan di Sarawak,” katanya.
Selain itu, Pesta Benak Sri Aman menjadi platform masyarakat mengetengahkan keunikan produk tempatan termasuk makanan, kebudayaan, kesenian dan warisan sebagai pakej pelancongan berpotensi besar.
“Saya mengalu-alukan kehadiran semua ke bandar Simanggang untuk menghangatkan Pesta Benak Sri Aman 2023 yang disifatkan sebagai aktiviti utama pelancongan dengan menarik pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Saya yakin Pesta Benak Sri Aman mampu memartabatkan kejadian alam yang unik ini sebagai ikon pelancongan Simanggang.
“Bukan sahaja dipercayai mampu menjana pendapatan dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat serta menjalin integrasi perpaduan, malah berupaya memperkenal Simanggang di persada dunia,” ujar Adun Simanggang itu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka hadir merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Benak Sri Aman 2023, hari ini.
Pada hari pertama dan kedua Pesta Benak Sri Aman 2023 menyaksikan kehadiran luar biasa pengunjung.
SADA DAN SRI AMAN
Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) tahun lalu menetapkan 65 peratus peruntukan pembangunannya untuk aspek infrastruktur.
Di bawah SADA terdapat lima sektor yang diberikan tumpuan utama iaitu 36 peratus untuk pelancongan, manakala 34 peratus bagi pembinaan jalan serta jambatan.
Selebihnya projek pengurusan 19 peratus, sembilan peratus untuk ekosistem dan dua peratus kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Semoga semua yang dirancang untuk mentransformasikan bahagian Sri Aman dan bandar Simanggang terutamanya dapat direalisasikan dengan lancar.
Dalam masa yang sama terus gali, gali dan gali potensi lain yang mampu meningkatkan tarafnya serta masyarakat.
Di sini tiada sumber minyak dan gas seperti Bintulu dan Miri yang boleh diharapkan.
Justeru, lakukan yang mampu dicapai untuk memastikan kita tidak berangan-angan seperti Mat Jenin.
Daerah Sri Aman berkongsi sempadan di sepanjang Banjaran Kelingkang, di bahagian selatan dengan Kalimantan Indonesia.
Dan bersempadan dengan Lubok Antu di bahagian tenggara.
Bahagaian Betong di sebelah timur laut. Pesisirannya di utara bersempadan dengan Laut China Selatan dan di barat dengan Daerah Simunjan, Bahagian Samarahan.
Maknanya, potensi pelancongannya tidak akan surut kerana dikelilingi area yang mempunyai populasi yang tinggi termasuk negara jiran.
Pesta Benak sendiri misalnya berjaya menarik sehingga 50,000 ke 60,000 pengunjung tempatan dan luar, yang sekali gus menjadi penyumbang ekonomi yang baik kepada masyarakat dan bandar Simanggang.
Pengerusi SADA Datuk Seri Rohani Abdul Karim pernah menyatakan pihaknya mula mengintai peluang baharu ekoran perpindahan ibu negara Indonesia supaya masyarakat di Bahagian Sri Aman khususnya, mendapat manfaat.


