KUCHING: Seorang wanita tempatan dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana mencuri wang RM70 milik seorang pemandu e-hailing, semasa dia cuba melarikan kereta mangsa untuk dicuri.
Difahamkan, dia mencuri wang tersebut untuk mengisi minyak kereta mangsa yang dilarikannya semasa menempah aplikasi e-hailing.
Nur Syamina Salidan, 26, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri wang sebanyak RM70 milik mangsa lelaki berusia 42 tahun.
Dia melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah masjid di Jalan Wan Alwi, sekitar jam 4.51 petang, 23 Ogos lalu.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa merupakan pemandu menerima tempahan daripada seorang wanita dari sebuah pusat beli belah di Jalan Stutong.
Semasa dalam perjalanan, tertuduh meminta mangsa berhenti di sebuah masjid untuk mencari suaminya.
Tertuduh meminta pertolongan mangsa untuk mencari suaminya di dalam masjid terbabit dengan alasan dia tidak dapat masuk ke dalam kerana berseluar pendek.
Kemudian, mangsa masuk ke dalam masjid berkenaan mencari suami tertuduh.
Semasa mangsa keluar dari masjid tersebut, dia tidak melihat kereta perodua axianya di luar dan telah dilarikan tertuduh. Mangsa terus menghubungi adiknya untuk mencari kereta terbabit.
Mangsa bersama-sama adiknya mencari keretanya dan akhirnya dijumpai selepas setengah jam berlegar-legar di Kampung Tabuan Melayu.
Mangsa dan adiknya terus mengejar tertuduh.
Apabila tertuduh menyedari dia diekori, lalu melajukan kereta tetapi berjaya disekat adik mangsa hingga belakang kereta mangsa yang dipandu tertuduh melanggar dinding pagar rumah orang.
Kemudian, mangsa dan adiknya menangkap tertuduh lalu terus dibawa ke balai polis berdekatan.
Hasil siasatan, mendapati wang dalam dompet mangsa di dalam keretanya telah hilang dicuri tertuduh.
Tertuduh mengaku mencuri wang tersebut untuk membeli minyak kereta mangsa yang dilarikannya untuk dicuri.



