Musim cuti sekolah sering dinanti-nantikan oleh pelajar selepas melalui jadual pembelajaran yang padat sepanjang sesi persekolahan.
Bagi kebanyakan ibu bapa pula, cuti sekolah menjadi peluang untuk meluangkan lebih banyak masa bersama-sama anak-anak yang sebelum ini sibuk dengan rutin harian di sekolah.
Suasana cuti sekolah biasanya membawa kegembiraan kepada kanak-kanak kerana mereka bebas daripada tugasan sekolah, kerja rumah dan tekanan peperiksaan.
Namun begitu, cuti sekolah bukan sekadar tempoh untuk berehat atau berseronok semata-mata, sebaliknya boleh dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti berfaedah.
Dalam era moden hari ini, ramai kanak-kanak cenderung menghabiskan masa cuti dengan bermain permainan video atau melayari media sosial tanpa kawalan.
Jika keadaan itu tidak dipantau, masa yang sepatutnya digunakan untuk perkara yang bermanfaat boleh berlalu begitu sahaja tanpa memberikan sebarang nilai tambah kepada perkembangan diri mereka.
Berbanding zaman dahulu, cuti sekolah merupakan masa untuk bermain masak-masak menggunakan tempurung kelapa sebagai peralatan, mandi sungai, bermain kaki tiga dan sebagainya.
Mengimbau kembali zaman kanak-kanak, waktu cuti sekolah merupakan masa untuk belajar berenang di sungai. Pada waktu itu, boleh dikatakan setiap petang saya dan rakan-rakan akan mandi di sungai sambil menunjukkan gaya renang masing-masing.
Jika tidak mandi sungai, kami akan menonton televisyen pada waktu petang kerana banyak rancangan menarik disiarkan ketika cuti sekolah.
Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting untuk merancang aktiviti yang sesuai agar cuti sekolah dapat dimanfaatkan secara lebih produktif.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah membawa anak-anak melancong atau pulang ke kampung bagi mengenali asal usul keluarga.
Aktiviti sedemikian bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah memberikan peluang kepada anak-anak untuk mengenali budaya dan kehidupan masyarakat luar bandar.
Bagi keluarga yang kurang berkemampuan pula, cuti sekolah tidak semestinya perlu diisi dengan percutian mahal atau aktiviti yang memerlukan kos tinggi.
Sebaliknya, masa cuti boleh dimanfaatkan dengan melakukan aktiviti sederhana seperti berkebun, bergotong-royong membersihkan rumah atau memasak bersama-sama keluarga.
Aktiviti seperti itu mampu membentuk nilai kerjasama, disiplin dan rasa tanggungjawab dalam kalangan anak-anak sejak usia muda.
Selain itu, cuti sekolah juga boleh dijadikan peluang untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar.
Budaya membaca perlu dipupuk secara berterusan supaya anak-anak tidak terlalu bergantung pada gajet sebagai sumber hiburan utama.
Ibu bapa boleh membawa anak-anak ke perpustakaan atau kedai buku, selain menggalakkan mereka membaca bahan ilmiah yang sesuai dengan usia masing-masing.
Sehubungan itu, bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting, cuti sekolah boleh dimanfaatkan untuk membuat ulang kaji pelajaran secara lebih santai dan terancang.
Pendekatan pembelajaran secara santai tanpa tekanan kadangkala lebih berkesan bagi membantu pelajar memahami sesuatu topik.
Bagaimanapun, ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak memperoleh masa rehat yang mencukupi agar mereka tidak berasa terbeban sepanjang cuti sekolah.
Keseimbangan antara rehat, hiburan dengan aktiviti pembelajaran amat penting bagi memastikan perkembangan mental serta emosi anak-anak berada dalam keadaan baik.
Selain aktiviti bersama-sama keluarga, cuti sekolah juga boleh membuka ruang kepada anak-anak untuk menyertai program kemasyarakatan.
Pelibatan dalam aktiviti sukarelawan seperti gotong-royong, bantuan kebajikan atau program komuniti mampu memupuk sifat prihatin dan semangat tolong-menolong.
Nilai murni seperti itu penting untuk membentuk generasi muda yang bertanggungjawab serta mempunyai rasa empati terhadap masyarakat sekeliling.
Dalam pada itu, aspek keselamatan anak-anak sepanjang cuti sekolah juga tidak boleh dipandang ringan.
Ibu bapa perlu memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak, terutama ketika mereka berada di luar rumah atau menggunakan Internet.
Kebebasan tanpa pengawasan boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko, termasuk pengaruh negatif dan jenayah siber.
Masyarakat juga perlu memainkan peranan memastikan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak sepanjang musim cuti sekolah.
Justeru, cuti sekolah mampu menjadi medan penting untuk melahirkan generasi muda yang lebih berilmu, berdisiplin dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.



