ARTIKEL

Dadah dan modus operandi di Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DI saat dunia masih resah dilanda wabak virus Covid-19, berita media tidak putus memaparkan sorotan tangkapan oleh pihak penguat kuasa terhadap penglibatan salah guna dadah oleh segelintir masyarakat. Kes terbaharu, polis Sarawak telah melakukan sejumlah 332 tangkapan terhadap aktiviti penyalahgunaan dadah berjumlah RM55,082.00 di sekitar kawasan Kuching sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, bermula 18 Mac hingga 15 Jun tahun ini.

Mengikut kajian kes, rekod itu mengesahkan peningkatan tangkapan kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019. Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, 4,009 tangkapan penyalahgunaan dadah telah dilakukan di seluruh Sarawak dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Dalam satu sidang media, beliau memaklumkan pihaknya akan berkolaborasi dengan beberapa agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan dan Kementerian Kesihatan untuk membanteras aktiviti tersebut daripada terus berleluasa.

Dedahnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 272 tangkapan melibatkan remaja berusia 18 tahun ke bawah.

Jelas sekali paparan serta kajian yang dikeluarkan oleh pihak penguat kuasa berkaitan dadah semakin membimbangkan, khususnya di negeri Sarawak ini. Salah satu punca yang dijadikan alasan oleh penjenayah ialah mereka berasakan dadah boleh mengubati tekanan yang dialami ketika menjalani kehidupan seharian.

Stigma mengambil dadah sebagai jalan pintas untuk meringankan otak ketika menghadapi tekanan menjadikan kesalahan itu dibuat secara sukarela dan dalam keadaan tidak terpaksa.

Namun begitu, alasan tersebut akhirnya terbongkar dan ia bukanlah tujuan utama mereka mengambilnya, setelah rekod individu terbabit menunjukkan dia antara penjenayah yang sudah ditangkap beberapa kali atas perkara sama.

Aktiviti jual beli serta penyeludupan dadah kini dilihat semakin berleluasa selaras dengan perkembangan teknologi. Malah ada juga tangkapan melibatkan penghantaran dadah menggunakan dron dan pos laju.

Di Daerah Kuching, terdapat beberapa modus operandi yang digunakan oleh pengedar dadah untuk menjalankan kegiatan ini.

Pertamanya, pembelian secara langsung. Pembeli dadah akan berhubung atau berjumpa dengan pengedar secara langsung di tempat yang ditetapkan untuk menyempurnakan proses jual beli dadah.

Kedua, pembeli akan melakukan pembayaran melalui bank, sebelum ditetapkan lokasi kutipan.

Untuk tujuan ini, pengedar akan memberikan nombor akaun kepada pembeli untuk mereka memasukkan wang. Setelah wang dimasukkan, pembeli akan diberitahu lokasi pengambilan dadah yang ditetapkan oleh pengedar.

Terdapat juga kes pembeli ditipu oleh pengedar, dengan setelah wang dimasukkan pengedar terus menghilangkan diri.

Beberapa kenderaan juga telah dikenal pasti digunakan untuk meletakkan dadah yang dibeli. Selain itu, antara taktik terkenal yang digunakan ialah bungkusan kurier.

Pembeli membeli dadah dari pengedar di luar kawasan dan dadah akan dikirim melalui kiriman kurier.

Ibu bapa disarankan untuk memantau aktiviti anak-anak berikutan gejala ini mudah menjebak golongan remaja. Ia berikutan pendedahan daripada pengedar yang menyasarkan kelompok seperti mereka sebagai pembeli utama.

Jika boleh, periksa setiap barangan dan kediaman anak-anak untuk memastikan mereka tidak terlibat dengan kegiatan terbabit.

Lebih penting, pihak penjaga perlu bekerjasama dengan pihak penguat kuasa agar gejala ini dapat diatasi dan tidak memudaratkan anak-anak sehingga terpesong atau memilih jalan salah.

Anak-anak juga perlu didedahkan bahawa penyalahgunaan dadah akan memberi impak yang dahsyat, kerana hukuman maksimumnya ialah gantung sampai mati.

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan