KUCHING: Pertumbuhan perniagaan yang semakin pesat di Sarawak mendorong syarikat penyaman udara terkemuka, Daikin Malaysia memindahkan operasinya ke premis baharu yang lebih besar dan strategik di sini bagi memperkukuh sokongan selepas jualan serta meningkatkan keupayaan memenuhi permintaan pelanggan di seluruh negeri.
Pengarah Urusan Daikin Malaysia Sales & Services Sdn Bhd, Lawrence Song Yew Beng berkata, premis terdahulu tidak lagi mampu menampung perkembangan operasi syarikat. Justeru pusat baharu itu menyediakan ruang lebih luas untuk penyimpanan alat ganti, stok sedia ada serta perkhidmatan sokongan teknikal.
Katanya, pelanggan kini boleh mendapatkan alat ganti secara terus di pusat berkenaan bagi membaiki sistem penyaman udara mereka dengan lebih cepat, sekali gus mengurangkan tempoh menunggu.
“Fokus kami bukan sahaja menjual produk, tetapi memastikan pelanggan menerima perkhidmatan selepas jualan yang terbaik,” katanya ketika ditemu-bual sempena pembukaan rasmi Daikin Malaysia Sales & Services Sdn Bhd (Cawangan Sarawak) di Westfield Point, di sini hari ini.

Lawrence menambah pemilihan lokasi baharu dibuat berdasarkan faktor logistik kerana ia lebih mudah diakses dan membolehkan syarikat meliputi kawasan yang lebih luas termasuk wilayah utara Sarawak.
“Lokasi ini berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan berada dalam hab perniagaan yang strategik. Ia membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang lebih pantas kepada pelanggan di seluruh Sarawak,” katanya.
Dalam usaha merangsang ekonomi tempatan, Lawrence berkata pihaknya turut memberi keutamaan kepada pengambilan pekerja dalam kalangan rakyat Sarawak, manakala tenaga pakar dari ibu pejabat hanya ditempatkan bagi menyokong aspek teknikal.
Menurutnya, syarikat tidak menetapkan sasaran jualan khusus kepada cawangan baharu itu, sebaliknya lebih menumpukan kepada pengukuhan perkhidmatan selepas jualan bagi meningkatkan keyakinan pelanggan dengan jenama Daikin.
“Kami percaya perkhidmatan selepas jualan yang baik akan membina kepercayaan pelanggan dan mengukuhkan reputasi Daikin sebagai jenama yang menawarkan penyelesaian penyaman udara yang boleh dipercayai,” katanya.
Mengulas rancangan pengembangan pasaran, Lawrence menjelaskan operasi pusat berkenaan hanya memberi tumpuan kepada pasaran Sarawak dan tidak melibatkan penjualan rentas sempadan ke Kalimantan Barat, Indonesia.
Katanya, pembukaan pusat baharu itu dijangka membolehkan Daikin mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh Sarawak, selaras dengan komitmen syarikat dalam mengutamakan kepuasan pelanggan dan ketahanan sistem penyaman udara yang digunakan.



