DALAT: Inisiatif Pekan Mesra Kanak-Kanak (CFTI) perlu diperkenalkan di pekan-pekan kecil dan kawasan luar bandar seperti pelaksanaan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pembangunan mesra kanak-kanak tidak seharusnya tertumpu kepada bandar besar sahaja.
Menurutnya, kanak-kanak di luar bandar juga mempunyai hak yang sama untuk membesar dalam persekitaran selamat, inklusif dan menyokong perkembangan mereka.
“Malah, pendekatan mesra kanak-kanak di kawasan luar bandar lebih penting kerana kawasan tersebut mempunyai pelbagai cabaran.
“Ini termasuk cabaran dari segi akses perkhidmatan, jurang digital, intervensi awal, kemudahan rekreasi dan sokongan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan CFCI di Dalat dan Mukah oleh pihak Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Kompleks Kebajikan Dalat, hari ini.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menyifatkan cadangan menjadikan Dalat sebagai projek perintis CFTI sebagai satu langkah amat signifikan.
Jelasnya, langkah awal ke arah menjadikan bandar mesra kanak-kanak itu telah bermula apabila sebelum ini pihaknya mengadakan ‘Engagement Workshop with Children’ bagi mendengar sendiri suara, pandangan, harapan dan kebimbangan kanak-kanak.
“Ini amat penting kerana antara prinsip utama CFCI adalah bagi memastikan suara kanak-kanak didengari dan diambil kira dalam proses membuat keputusan yang melibatkan kehidupan mereka.
“Daripada sesi libat urus tersebut, kita juga bercadang menubuhkan Majlis Kanak-Kanak dalam masa terdekat sebagai platform rasmi untuk kanak-kanak menyuarakan pandangan serta terlibat dalam pembangunan komuniti mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu sekiranya projek perintis tersebut berjaya, Dalat mampu menjadi model baharu pembangunan komuniti mesra kanak-kanak bagi pekan kecil di Sarawak.
Tambahnya, perkara itu membuktikan bahawa pembangunan mesra kanak-kanak bukan hanya agenda bandar besar, tetapi juga agenda komuniti luar bandar dan pedalaman.



