KUCHING: Rombakan Kabinet Persekutuan baru-baru ini membuktikan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak memungkiri janji bahawa mereka tidak bercita-cita untuk memegang kuasa eksekutif.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan, Datuk Sim Kiang Chiok berkata, janji yang dinyatakan pemimpin DAP Sarawak pada tahun 2022 itu sebenarnya sekadar bertujuan untuk meraih kepercayaan rakyat semata-mata.
“Pada tahun 2022, pemimpin DAP Sarawak secara terbuka memberi jaminan kepada rakyat Sarawak bahawa mereka tidak mempunyai sebarang cita-cita untuk memegang kuasa eksekutif, malah berulang kali menyatakan bahawa mereka berpuas hati kekal sebagai penyokong kerajaan di Parlimen.
“Jaminan itu sebenarnya untuk meraih kepercayaan rakyat serta menggambarkan DAP Sarawak berbeza daripada kepimpinan di Semenanjung. Sebaliknya pada tahun 2025, janji itu diketepikan dengan mudah.
“Pelantikan seorang Ahli Parlimen DAP Sarawak sebagai Timbalan Menteri merupakan satu ‘pusingan-U’ yang jelas dan tidak dapat dinafikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas beliau, tindakan tersebut bukan satu kebetulan sebaliknya merupakan satu percanggahan langsung terhadap apa yang telah dijanjikan kepada rakyat Sarawak sebelum ini.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau menegaskan bahawa corak tidak konsisten berkenaan bukanlah perkara baharu dalam siri janji DAP Sarawak.
“Corak tidak konsisten ini bukanlah perkara baharu. Rakyat Sarawak dijanjikan 20 peratus royalti minyak dan gas namun sehingga kini janji tersebut masih belum ditunaikan.
“Begitu juga dengan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) di peringkat nasional walaupun Kerajaan Sarawak telah mengiktiraf UEC lebih sedekad lalu bagi kemasukan ke perkhidmatan awam dan institusi negeri,” jelas beliau lagi.



