KUCHING: Seramai 77 anak yatim di Kompleks Kebajikan Laila Taib, Kuching disantuni menerusi program Majlis Jalinan Kasih yang berlangsung di kompleks tersebut, semalam.
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Dayang Norjihan, anak kepada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Kunjungan itu merupakan yang keempat dilaksanakan oleh Dayang Norjihan di bawah siri lawatan kebajikan ke kompleks kelolaan Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM), selepas di Miri dan Bintulu pada Julai lalu serta di Sibu pada Ogos.
Program tersebut bertujuan untuk meneruskan legasi dan hasrat ibunda tercinta, Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang untuk terus menyantuni mereka yang memerlukan, khususnya anak-anak yatim.
Pada majlis itu, Dayang Norjihan menyampaikan sumbangan peribadi atas nama Allahyarhamah ibunda beliau kepada 77 anak-anak yatim dan 37 kakitangan kompleks berkenaan.
Beliau turut menyerahkan sumbangan berupa wang tunai kepada kompleks tersebut yang diterima oleh Pengerusi Exco PERYATIM Kuching, Nor Aisyah Tan Abdullah.






